‘Mahu bersihkan nama dulu’

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd nekad mahu membersihkan nama beliau.

Bercakap ketika program Sinar Live ‘Apa Khabar Bossku’ di Studio F, Bangunan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam baru-baru ini, beliau berkata, proses membersihkan nama melalui proses mahkamah adalah perkara utama yang diberi perhatian sebelum memikirkan tindakan selanjutnya.

“Apa-apa pun yang pertama sekali ini saya kena bersihkan nama saya dulu sebab saya ada kes-kes tertentu di mahkamah.

“Saya nak bersihkan nama saya. Itu yang pokoknya. Bila saya dah bersihkan nama, saya akan tentukan apa yang patut saya lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan adakah beliau akan memaafkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkait dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengheretnya ke mahkamah.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 28 Julai (esok) sebagai tarikh keputusan sama ada Najib disabit atau dilepaskan daripada pertuduhan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib ketika bercakap ketika program Sinar Live ‘Apa Khabar Bossku’ di Studio F, Bangunan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam baru-baru ini.
Najib ketika bercakap ketika program Sinar Live ‘Apa Khabar Bossku’ di Studio F, Bangunan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam baru-baru ini.

Najib, yang menjadi Perdana Menteri keenam dari tahun 2009 hingga 2018, ialah ketua kerajaan Malaysia pertama dihadapkan ke mahkamah.Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit termasuk dokumen akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger berhubung transaksi akaun Najib.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.