‘PKR rugi sebab pecat saya’

Haniza mendakwa PKR kini cacar marba kerana kelemahan kepimpinan yang gagal membuat keputusan yang betul.
Haniza mendakwa PKR kini cacar marba kerana kelemahan kepimpinan yang gagal membuat keputusan yang betul.
A
A
A

MESYUARAT Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 28 Jun lalu bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahli parti itu termasuk Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha. Bagaimanapun, Haniza yang merupakan lulusan bidang Seni Bina di University of Sheffield, United Kingdom menganggap pemecatannya sebagai satu kerugian besar buat parti itu.

Namun, beliau yang pernah bekerja sebagai pengetua di pusat pendidikan kanak-kanak dan editor sambilan lega kerana kini boleh memberi fokus kepada perkara lain.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang juga bekas Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor itu di Ampang baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apakah perasaan Yang Berhormat sebaik digantung dan dilucutkan keahlian PKR serta dipecat jawatan Exco kerajaan negeri?

HANIZA: Saya tak rasa sedih sangat sebab saya rasa sudah buat yang terbaik bila pegang jawatan dalam kerajaan. Taklah rasa ralat sangat, saya sudah buat apa yang mampu. Saya rasa lega kerana tak salah, mereka memang nak pecat saya. Saya rasa lega, saya boleh move on, fokus buat kerja lain. Semasa sertai PKR pada tahun 1998 saya berikan yang terbaik.

Saya anggap parti politik ini macam ‘kenderaan’ untuk membangun negara, ‘kenderaan’ kalau sudah tidak bagus kita boleh tukar. Saya anggap kalau ‘kenderaan’ tak berfungsi macam mana pemiliknya mahu, tak perlu guna lagi dan dapatkan yang baharu. Masa saya naik kenderaan PKR mula-mula memang dalam kondisi baik, ikut apa yang saya nak tapi sekarang sudah tak berfungsi, jadi saya cari ‘kenderaan’ baharu. Sesuatu yang merugikan bila PKR buang saya sedangkan banyak benda saya boleh buat.

Bagaimana kehidupan Yang Berhormat selepas dipecat oleh parti?

Ada yang takut nak berkawan dengan saya, takut dilihat bersama saya kerana nanti akan digelar sesuatu ‘nama’. Selepas dipecat tak ada pun yang hubungi saya. Sebenarnya saya tak adalah sampai tahap benci sangat kepada mereka. Hairan kenapa lepas saya kena pecat, takut nak jumpa saya, tapi tak kisahlah. Saya nampak tindakan yang dibuat oleh parti merugikan, bila buat macam itu ahli dan pemimpin curiga-mencurigai dan saling tidak mempercayai.

Artikel Berkaitan:

Kalau jadi seperti itu bagaimana nak bekerja dan kukuhkan parti. Itu yang buatkan ahli tak selesa dan keluar parti beramai-ramai. Mereka tak boleh tahan dengan tingkah laku ini. Bila buat sesuatu orang persoalkan keikhlasan, sedangkan kamu berkorban untuk bina parti.

Bagaimanakah pandangan Yang Berhormat terhadap PKR?

PKR kini cacamarba bukan sebab saya sudah tinggalkan PKR. Saya tengok dari segi struktur parti sudah jadi keliru, semangat ahlinya sudah jatuh, setiap hari, setiap bulan pemimpin yang dari awal sudah keluar parti. Sekarang ini sayap wanita sudah habis. Ketua tak ada, timbalan tak ada, jawatan naib ketua pun tak dipilih bila dua jawatan tu dah kosong. Cacamarba ini kerana kelemahan kepimpinan yang gagal membuat keputusan yang betul.

Apakah tindakan pemimpin keluar parti akan melemahkan PKR?

Semua orang melihat kejatuhan PKR daripada parti yang ramai ahli Parlimen, sekarang seorang demi seorang tingalkan parti dan dipecat. Semuanya jadi jahanam kerana pemimpinnya yang berebut nak jadi perdana menteri sampai sekarang tak sedar diri. Parti menjadi bertambah lemah sebab ada favouritism dan pemimpin atasan tak dengar pandangan akar umbi.

PKR sudah lari daripada matlamat pejuangan asal, kalau dulu adalah mengenai menegakkan keadilan, sekarang mengenai siapa nak pegang jawatan, siapa nak jadi perdana menteri. Kalau ahlinya pun tak dapat keadilan, bagaimana nak bagi keadilan kepada rakyat?

Bagaimanakah Yang Berhormat melihat situasi politik yang berlaku kini bakal memberi impak kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?

Rakyat sekarang sudah pandai berpolitik berbanding era 1990-an. Mereka akan pilih orang yang akan mendengar pandangan, hasrat dan rintihan. Saya tengok jika kita nak kekal relevan, kita mesti dengar apa yang rakyat mahukan. Jika kamu fikir kamu tahu apa yang rakyat mahu, itu yang bermulanya kejatuhan sebuah kerajaan.

Dulu Pakatan Harapan (PH) banyak buat benda yang tak kena pada masanya walaupun benda itu betul contohnya larangan merokok di premis makanan. Sepatutnya kena selesaikan masalah besar rakyat dulu seperti isu pendapatan rendah, kekurangan peluang pekerjaan, isu warga asing dan sebagainya. Alhamdulillah dalam tempoh singkat Perikatan Nasional (PN) berjaya tunjukkan apa yang penting kepada rakyat. Kesilapan PH mereka tak dengar rakyat.

Haniza masih meneruskan khidmatnya sebagai ADUN Lembah Jaya meskipun dilucut keahlian parti dan dipecat daripada jawatan Exco kerajaan negeri.
Haniza masih meneruskan khidmatnya sebagai ADUN Lembah Jaya meskipun dilucut keahlian parti dan dipecat daripada jawatan Exco kerajaan negeri.

Adakah Yang Berhormat akan masuk bertanding pada PRU15. Jika ya menerusi platform apa?

Setakat ini saya tak ada parti. Bertanding sebagai apa, mewakili siapa saya belum buat keputusan. Saya akan pertimbangkan jika ada mana-mana parti yang tawarkan. Kalau rasa saya boleh menyumbang sesuatu kepada pembangunan negara dan ada yang benarkan saya mewakili mana-mana parti, saya terbuka terima tawaran.

Apakah perancangan Yang Berhormat selepas tidak lagi menganggotai parti politik dan dipecat jawatan Exco Kerajaan Selangor?

Walaupun bukan Exco lagi, saya masih boleh laksanakan khidmat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

Saya juga tubuhkan NGO, Pertubuhan Wanita Negara (NOW) dua bulan lalu untuk membantu pembangunan ekonomi wanita. Bila saya tubuhkan NGO saya punya platform bergerak lebih luas seluruh Malaysia. Saya lihat tak ada halangan untuk memberi khidmat kepada rakyat walaupun tak ada parti.

Dalam masa singkat saya sudah buat banyak benda, ramai datang beri kerjasama kepada saya termasuk yang keluar parti. NGO saya mempunyai 30,000 ahli ketika ini.

Baru-baru ini YB memenangi cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional bagi bulan Jun 2020 berjumlah RM1 juta. Apakah perancangan Yang Berhormat dengan wang RM1 juta itu?

Saya tak ada perancangan lagi nak buat apa, saya belum pun keluarkan lagi wang kemenangan itu. Memang tak sangka boleh menang walaupun kali pertama saya beli SSP tahun lepas.

Apakah perkara yang menjadi keprihatinan Yang Berhormat sepanjang bergelar wakil rakyat?

Sebelum DUN Lembah Jaya, saya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan. Semasa di sana saya perhatikan masalah kemiskinan menjadi perkara perlu diberi tumpuan. Di kawasan itu sebahagian besar ialah peneroka bandar yang dipindahkan. Kemiskinan mewujudkan masalah sosial, ekonomi, anak-anak keciciran dan sebagainya.

Mak ayah sibuk cari duit sara keluarga sampai anak terbiar dan terjerumus ke dalam penagihan dadah serta masalah sosial. Fokus saya memang kepada meningkatkan taraf kehidupan untuk mengatasi masalah kehidupan bandar.

Haniza menunjukkan projek rumah terbengkalai yang berjaya disiapkan ketika memagang jawatan exco kerajaan negeri.
Haniza menunjukkan projek rumah terbengkalai yang berjaya disiapkan ketika memagang jawatan exco kerajaan negeri.

Saya mengemukakan idea mengecat bangunan flat yang usang dengan mewujudkan Skim Ceria. Saya juga buat program anak angkat menerusi kaedah mentor-mentee pasangkan pelajar sekolah dengan pelajar institut pengajian tinggi. Tiga projek rumah terbengkalai juga dapat disiapkan sepenuhnya iaitu dua di Ampang dan satu di Puchong.

Apakah hasrat Yang Berhormat yang belum tercapai susulan dipecat sebagai Exco kerajaan negeri?

Saya sudah membuat beberapa perancangan di bawah portfolio dipegang untuk tempoh lima tahun. Ada beberapa perkara sudah dirancang dan diluluskan. Saya wujudkan jawatankuasa penyelarasan bandar berdaya huni untuk mewujudkan bandar lestari, sejahtera dan ceria.

Saya sudah luluskan satu projek pembangunan semula di pangsapuri usang di Pandan. Saya tak sempat tengok pelaksanaan Selangor Urban Agenda.