Hilang nikmat bila tiada gigi

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

GIGI juga satu kurniaan yang tidak ternilai harganya. Jika sudah tiada gigi, senyuman pun kurang menawan, nikmat untuk makan pula hilang. Bila disebut bidang pergigian, mungkin ramai yang akan terbayangkan rawatan seperti tampalan, cabutan, pemasangan pendakap gigi dan gigi palsu.

Ramai yang menyangka Fakulti Pergigian di universiti hanya menawarkan khidmat pemeriksaan dan diagnosis pergigian sahaja sedangkan bidang pergigian amat luas dan merangkumi banyak bahagian serta kepakaran.

Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) Universiti Sains Malayisa (USM) di Kubang Kerian, Kelantan sebagai contoh, merupakan IPTA ketiga di Malaysia yang menawarkan pengajian bidang pergigian selepas Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia dan ia merupakan yang pertama di pantai timur ketika itu.

Profesor Datuk Dr Abdul Rani Samsudin, seorang pakar bedah mulut dan maksilofasial (OMFS), merupakan dekan yang pertama pada 1 November 1998.

Tahukah anda bahawa selain daripada bidang kepakaran pergigian, PPSG juga memiliki kepakaran dalam bidang anatomi, biomaterial, pengimejan kraniofasial, biologi molekular, genetik, kesihatan keluarga, kesihatan awam perubatan, nutrisi, farmakologi dan fisiologi?

Ya, selain doktor pakar pergigian, ada juga pakar-pakar lain dalam pelbagai bidang yang berkhidmat di PPSG. Malah, Dr Marzuki Omar, salah seorang pakar OMFS di PPSG, turut memiliki ijazah perubatan.

Dua lagi pakar OMFS yang saya kenali secara peribadi dan memiliki kedua-dua ijazah tersebut ialah Dr Firdaus Hariri (UM) dan Dr Azmeel Mazlee Anuar (UiTM).

Bagi mereka yang kehilangan hidung, mata atau telinga akibat kemalangan jalan raya atau kanser, PPSG memiliki pakar prostesis maksilofasial. Ya, selain gigi palsu, pakar-pakar di sini dengan kerjasama juruteknologi pergigian mampu menghasilkan mata, hidung dan telinga palsu bagi pesakit yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun anggota badan yang palsu tidak akan dapat berfungsi sebagaimana anggota yang asal, sekurang-kurangnya fizikal pesakit akan kelihatan normal. Jika pesakit keluar rumah tanpa hidung, sebagai contoh, ia boleh mendatangkan perasaan tidak selesa kepada pesakit itu sendiri dan mungkin juga menakutkan, terutamanya bagi kanak-kanak.

Mungkin juga ramai yang tidak tahu bahawa Fakulti Pergigian juga mempunyai jurutera seperti jurutera kimia dan saintis bahan yang menjalankan kajian terhadap bahan-bahan dan produk berkaitan mulut dan muka.

Selain itu, terdapat juga saintis dalam bidang biokimia, bioperubatan dan doktor veterinar yang menjalankan pelbagai kajian peringkat makmal, kajian haiwan dan juga kajian klinikal manusia yang melibatkan kerjasama antara doktor-doktor pakar perubatan dengan doktor pergigian.

PPSG USM pernah menghasilkan komposit tampalan gigi daripada silika yang diekstrak daripada sekam padi (G-HybriDFil) dan ia dipercayai yang pertama seumpamanya bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberikan pencerahan terhadap bidang pergigian, khususnya di USM.

Ia bukanlah tentang gigi sahaja tetapi melibatkan kesihatan dan kemaslahatan umum.

Kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Gigi cantik, senyuman menarik.

*Dr. Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan