Elak kemunculan kluster bola sepak

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KOMUNITI bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) telah dikejutkan dengan kes positif Covid-19 melibatkan seorang pemain Kuching FA pada Jumaat lalu ketika kadar kes pandemik berkenaan kembali mencatatkan peningkatan di negara ini.

Namun ia sedikit melegakan komuniti Liga-M yang cemerlang pada sesi Latihan Pasukan Fasa Satu (Latihan Tanpa Kontak) yang bermula 15 Jun lalu dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan. Kes pemain Kuching FA itu tidak melibatkan kluster bola sepak.

Pada masa sama, pujian juga harus diberikan kepada pengurusan kelab dari Sarawak yang hanya menyertai saingan Liga-M pada 2018 apabila bertindak segera mengarahkan pemain dan pegawainya menjalani kuarantin diikuti pemeriksaan saringan.

Biarpun perkhabaran itu hanya melibatkan kluster sebuah hospital di mana pemain kelab Liga Premier itu dilaporkan bertugas, namun secara tidak langsung memberi mesej jelas kepada komuniti Liga-M supaya tidak leka dalam aspek keselamatan dan kesihatan di sebalik giat meningkatkan kesiapsiagaan penyambungan baki saingan liga pada 26 Ogos depan.

Harus diingat bahawa sekiranya tercetus kluster bola sepak, berkemungkinan besar harapan penyokong dan peminat sukan nombor satu negara itu untuk menyaksikan saingan liga musim 2020 kembali bersambung tidak kesampaian tahun ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini berulang kali mengingatkan setiap pasukan atau kelab Liga-M supaya meningkatkan disiplin dalam pematuhan SOP ketika menjalani sesi Latihan Pasukan Fasa Dua (Latihan Kontak) yang sudah bermula sejak 15 Julai lalu.

Namun dengan berbaki sebulan sebelum saingan Liga-M pada Ogos depan, MFL juga dilihat perlu agresif menyediakan mekanisme baharu berikutan peningkatan angka kes Covid-19 yang menampakkan pertambahan.

Ini ditambah dengan keputusan kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk memperketatkan semula SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilonggarkan semasa pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) bagi mengekang seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Sadek Mustaffa, MFL perlu mengambil inisiatif membawa pasukan Sarawak dan Sabah termasuk Kuching FA berlatih serta mengharungi baki saingan liga di Semenanjung dalam senario terkini dengan peningkatan kes khasnya di Sarawak.

“Berbaki sebulan ini sebelum Liga-M kembali bersambung adalah lebih baik pasukan Sabah dan Sarawak ditempatkan di latihan pusat di Lembah Klang bagi membolehkan mereka lebih fokus dalam melakukan persiapan di samping pemantauan rapi pihak berkenaan sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.

Latihan

Pasukan-pasukan di Semenanjung juga tidak terkecuali terdedah dengan risiko penularan pandemik Covid-19 dengan peningkatan beberapa kes di kawasan tertentu pada ketika ini.

Sehubungan itu, jelas Mohd Sadek, bagi memastikan saingan Liga-M tidak berkubur awal, pemain, jurulatih dan pengurus perlu menjalani kuarantin di penempatan pasukan atau kelab sepanjang berlangsungnya saingan liga.

Ini penting bagi mengurangkan kontak komuniti Liga-M dengan persekitaran luar yang terdedah berpotensi menghadirkan risiko Covid-19.

“Pendekatan ini perlu dilihat secara positif kerana ia berkait dengan periuk nasi masing-masing biarpun boleh disifatkan terlalu ketat sehingga mengekang pergerakan sosial golongan terlibat terutamanya masa untuk bersama keluarga.

“Tapi dengan kemajuan teknologi tiada masalah untuk mereka berhubungan dengan keluarga, namun sekiranya berlaku pengurangan kes boleh sahaja diberikan kelonggaran untuk mereka kembali bersama keluarga,” katanya.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar