McPhee naib juara GP Andalusia

John McPhee muncul naib juara.
John McPhee muncul naib juara.
A
A
A

PELUMBA Moto3 Petronas Sprinta Racing, John McPhee bangkit menebus kekecewaan perlumbaan sebelum ini untuk meraih kedudukan kedua pada perlumbaan Grand Prix (GP) Andalusia hari ini.

McPhee terpaksa akur kehebatan pelumba SIC58 Squadra Corse, Tatsuki Suzuki yang mencatat 39 minit 18.861 saat setelah hanya ketinggalan 0.064 saat.

Menurut McPhee, dia sangat gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan berkenaan pada kedudukan kedua setelah gagal menamatkan perlumbaan pada GP Sepanyol di Litar Jerez, minggu lalu.

“Kemenangan ini menggembirakan setelah saya gagal menamatkan saingan minggu lalu. Pada selekoh terakhir saya sudah merasakan yang saya akan mampu melonjak pada kedudukan kedua kali ini.

“Pada perlumbaan ini juga saya cuba untuk berada dalam posisi selamat dan mengekalkan kedudukan saya.

“Saya sungguh gembira kerana akhirnya berjaya kembali dalam perlumbaan ini walaupun memasuki pertengahan musim dan saya menunggu untuk perlumbaan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlumbaan berkenaan.

Perlumbaan seterusnya adalah pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno pada 6 hingga 9 Ogos depan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi berazam untuk kembali bangkit di Litar Brno bagi mengumpul semula mata.

Artikel Berkaitan:

Khairul Idham yang gagal meraih mata kali ini menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-22 berkata, dia akan cuba memberikan aksi terbaiknya pada GP berkenaan kerana pernah meraih mata di litar Brno sebelum ini.

“Saya tidak pasti bilakah musim sebenar saya meraih mata di Litar Brno, mungkin pada 2017 atau 2018 ketika beraksi di Moto2 dan ketika itu saya dan John (McPhee) bersaing untuk menaiki podium.

“Saya juga suka berlumba di Brno. Oleh itu, saya akan cuba memberikan yang terbaik ketika beraksi di sana nanti," katanya.

Sementara itu pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin tidak tersenarai setelah menamatkan perlumbaan 23 pusingan.