Dua beradik yatim piatu diserahkan kepada nenek

Ginie (dua, kanan) dan Burhanuddin (kanan) ketika melawat Amirul Asyraf di Hospital Melaka.
Ginie (dua, kanan) dan Burhanuddin (kanan) ketika melawat Amirul Asyraf di Hospital Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Dua beradik yang yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) akan diletakkan di bawah penjagaan nenek sebelah arwah ibunya.

Exco Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar, Ginie Lim Siew Lin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bekerjasama dengan JKM Daerah Batu Pahat memandangkan kanak-kanak itu akan dibawa tinggal di rumah neneknya di Batu Pahat, Johor setelah dibenarkan keluar hospital dalam masa terdekat.

Menurutnya, keadaan Nurul Fatehah Adelia Mohd Fairuz, 7 dan Muhamad Amirul Asyraf Mohd Fairuz, 4, dilaporkan stabil dan dalam masa yang sama Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Melaka Tengah akan terus melakukan intervensi bagi membantu kanak-kanak berkenaan.

“Amirul Asyraf menunjukkan perkembangan positif apabila boleh bermain dan ceria seperti kanak-kanak lain cuma akan memeluk neneknya apabila dikelilingi orang yang tidak dikenali, manakala kakaknya Nurul Fatehah Adelia masih dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU), Hospital Melaka selepas menjalani pembedahan.

“Setakat ini juga pihak kaunselor sudah melakukan lawatan tiga kali dan berjumpa dengan dua beradik ini untuk memberi bantuan yang diperlukan dan kita melihat adiknya boleh bermain dan ketawa malah emosi tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kanak-kanak itu bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik di Hospital Melaka di sini, semalam.

Ginie berkata, intervensi kedua akan dilaksanakan sebaik sahaja kanak-kanak berkenaan pulang ke rumah di Melaka, namun sekiranya mangsa memilih untuk pulang ke Batu Pahat, Johor, PKMD Batu Pahat akan mengambil tanggungjawab menjalankan intervensi berkenaan

Sinar Harian 20 Januari lalu, melaporkan ibu bapa mangsa, Mohd Fairuz Haron, 30an, dan isteri, Iziani Abu Bakar, 34, antara tiga yang maut dalam insiden itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, pasangan yang menaiki Proton Saga FLX serta pemandu lelaki Perodua Myvi, Lee Boon Yong, 22, maut di lokasi kejadian.