Lebih 400 pekerja Malaysia di Singapura rayu bantuan

Dayalan (depan, kiri) menyerahkan memorandum kepada Raven bagi memohon kerajaan membantu pekerja Malaysia di Singapura, di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
Dayalan (depan, kiri) menyerahkan memorandum kepada Raven bagi memohon kerajaan membantu pekerja Malaysia di Singapura, di Pejabat Menteri Besar Johor, Kota Iskandar, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Lebih 400 pekerja Malaysia di Singapura menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad meminta kerajaan membantu mereka berikutan tidak dapat bekerja ke republik itu kerana sempadan Malaysia-Singapura masih ditutup.

Memorandum itu diserahkan Pengerusi Malaysian Indian Action Force (Miaforce), S Dayalan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), K Raven yang juga wakil Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurut Dayalan, mereka kini hilang punca pendapatan selain tidak mempunyai pengetahuan mengenai status permit kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kebanyakan kami tidak dapat melakukan pekerjaan e-hailing atau kerja-kerja penghantaran kerana lesen tidak dapat dikemaskinikan, kebanyakan kami terpaksa bertukar kepada lesen Singapura atas faktor pekerjaan.

"Majikan tempatan tidak menerima kami walaupun bekerja sementara kerana pengalaman pekerjaan kami adalah di Singapura," katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum tersebut.

Selain itu katanya, memorandum tersebut juga memohon tempoh moratorium dilanjutkan selain dipertimbangkan untuk diberikan lesen perniagaan bagi membolehkan mereka menjalankan berniaga secara kecil-kecilan.

"Kami amat memerlukan suatu lesen dan permit sementara dengan serta-merta untuk membolehkan kami mencari rezeki sehingga keadaan menjadi pulih," ujarnya.

Katanya, mereka juga memohon bantuan modal atau insentif untuk memulakan perniagaan antara RM10,000 sehingga RM30,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, memorandum itu turut meminta kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menawarkan pekerjaan sementara untuk membolehkan mereka memperoleh pendapatan dalam keadaan sukar mendapat kerja akibat koronavirus (Covid-19).

"Kami juga memohon kerajaan mengetepikan kos kuarantin yang terpaksa dibayar kami yang bekerja di Singapura. Ini kerana kami terpaksa membayar kos di Singapura dan juga terpaksa menanggung kos sekali lagi sebaik pulang ke Malaysia.

"Kos kuarantin yang ditanggung amatlah tinggi. Ini memudaratkan kami apatah lagi kami tiada lagi sumber kewangan untuk membayar kuarantin kerana terpaksa menggunakan setiap saki baki wang yang ada dalam meneruskan hidup," katanya.

Sekiranya boleh katanya, diharap kerajaan memberikan bantuan kewangan untuk tempat tinggal mereka selain bantuan persekolahan kerana ada yang belajar di sekolah kerajaan, swasta dan sekolah antarabangsa.