Bekas Adun DAP hadapi tuduhan tuntutan palsu RM33,380

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Adun DAP, Loh Chee Heng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM33,380 ketika beliau menjadi Adun Telok Datok (kini Banting), empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Chee Heng, 41, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-t hijau dan berseluar hitam mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Adun Telok Datok didakwa memperdayakan prinsipalnya dengan menggunakan dokumen iaitu Kelulusan Pengeluaran Peruntukan dan Kertas Kerja mengenai Program Sambutan Hari Guru Dewan Dun Telok Datok 2015 yang mengandungi butiran palsu untuk memohon pengeluaran peruntukan berjumlah RM13,380 sedangkan beliau tahu program tersebut tidak dilaksanakan.

Chee Heng juga didakwa memperdayakan prinsipalnya dengan menggunakan suatu dokumen iaitu Kelulusan Pengeluaran Peruntukan dan Kertas Kerja mengenai Program Pesta Tang Lung Tahun 2015 Dun Telok Datok yang mengandungi butiran palsu untuk memohon pengeluaran peruntukan berjumlah RM20,000 sedangkan beliau tahu program tersebut tidak dilaksanakan.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Pejabat Daerah Kuala Langat pada 8 Jun 2015 dan 23 September tahun sama dan dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kedua-dua kesalahan, Chee Heng boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau butiran yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mohd Sabri membenarkan Loh dibebaskan dengan jaminan RM40,000 serta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes serta turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Suffian Ja’afar memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua kesalahan tersebut tidak boleh diikat jamin, namun jika mahkamah cenderung membenarkannya dibebaskan pihaknya meminta supaya jaminan RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Keppy Wong yang mewakili Loh pula memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta tiga anak berusia 13, 8 dan 5 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Anak guam saya berkhidmat sebagai Adun Telok Datok selama lima tahun dari 2013 sehingga 2018, namun beliau tidak bertanding dalam PRK14 kerana tiada kerja tetap. Jika jaminan ditetapkan RM100,000 anak guam saya mungkin akan direman dalam penjara sepanjang prosiding kes ini berjalan,” katanya.

Pada 2016, Chee Heng menjadi wakil rakyat Bebas selepas keanggotaannya dalam DAP ditamatkan atas dakwaan menyalahgunakan dana yang diperuntukkan bagi kawasannya. - Bernama