Isu tunggakan gaji pemain KFA dibincang 3 Ogos depan

Ainol Shaharina (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Muhammad Sanusi (tengah) pada majlis perasmian Star View Menara Alor Setar, hari ini.
Ainol Shaharina (dua dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Muhammad Sanusi (tengah) pada majlis perasmian Star View Menara Alor Setar, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kemelut tunggakan gaji lima bulan pemain bola sepak Kedah akan dibincangkan dalam Mesyuarat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 3 Ogos depan.

Menteri Besar Kedah merangkap Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya prihatin dengan beberapa masalah dilalui skuad Lang Merah sejak tahun lepas.

Ketika diminta mengulas rungutan tunggakan gaji beberapa pemain bola sepak Kedah di laman sosial, beliau berkata, beliau yang baru dua minggu memegang jawatan sebagai Presiden KFA menyedari masalah yang melibatkan skuad itu.

"Saya ingin jelaskan kepada peminat bola sepak Kedah bahawa masalah ini bukan baharu tetapi sejak tahun lepas lagi. Bukan hanya tunggakan gaji tetapi melibatkan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penyedia tiket-tiket pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Star View Menara Alor Setar di Dataran Menara Alor Setar di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar.

Tegasnya, tidak mungkin beliau akan menggunakan duit negeri untuk menyelesaikan masalah tunggakan tersebut.

"Jika perlu overhaul (baik pulih) keseluruhan KFA, maka saya akan overhaul. Jika perlu kepada pemotongan gaji, saya akan cadangkan kepada pemotongan gaji," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada memberi kelonggaran berdasarkan tempoh tidak bermain untuk melakukan pemotongan gaji, yang mana sedia dilaksanakan KFA.

"Sebagai contohnya, jika kita mampu bayar RM20,000, maka kita bayar RM20,000. Siapa sanggup bermain untuk jumlah itu, sila tunggu," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, dalam mesyuarat berkenaan akan diputuskan juga tarikh bertemu pemain dan rundingan-rundingan untuk menyelesaikan segala permasalahan.

"Saya harap pemain dapat bersabar," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, KFA bersedia membuka pintu kepada pemain untuk mencari pasukan baharu demi kewangan yang lebih baik namun beliau yakin pemain Lang Merah memiliki sifat cintakan negeri, memahami keupayaan negeri dan situasi yang dihadapi akibat koronavirus (Covid-19).

Dalam perkembangan sama, katanya, ada beberapa penaja baharu berhasrat untuk menaja skuad berkenaan.