X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

62 kes lemas sepanjang PKP

Seramai 213 pelatih berjaya menamatkan latihan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang hari ini.
A
A

MARANG – Sebanyak 62 kes lemas direkodkan berlaku di negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan bermula 18 Mac lalu berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 25 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh PKP fasa satu hingga empat.

Menurutnya, 20 kes pula dicatatkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala selebihnya iaitu 17 kejadian lemas berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Semasa mula PKP panggilan kecemasan melibatkan kebakaran, kemalangan jalan raya dan lemas menurun sebanyak 40 peratus tapi apabila ia dilonggarkan, orang ramai mula keluar jalankan aktiviti rekreasi dan mencari nafkah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2020 melibatkan 213 pelatih di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Mohammad Hamdan berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada 39 lokasi panas atau hotspot dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas dalam usaha mengekang berlakunya tragedi itu.

Antara usaha itu katanya, mengadakan kempen kesedaran kepada penduduk setempat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang tanda amaran di lokasi berkenaan sebagai makluman kepada pengunjung luar.

“Kita juga ada melantik penduduk berhampiran kawasan berisiko sebagai anggota bomba bantuan untuk memantau kawasan apabila berlaku cuaca ekstrem dan tengkujuh yang mana boleh membahayakan orang ramai.

“Ini kerana walaupun sudah diletakkan bendera merah sebagai tanda tidak boleh masuk, masih ada yang pergi kerana tidak ada orang menahan mereka daripada masuk. Jadi kita bekerjasama dengan mereka,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!