PKR bantah cadangan PN wujud semula Jasa

Lee Chean Chung
Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mambantah cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam masa terdekat.

Bendahari Agung PKR Pusat, Lee Chean Chung berkata, sebaliknya PN digesa memberi tumpuan penuh untuk memerangi wabak koronavirus,(Covid-19) dan memulihkan ekonomi negara.

Menurutnya, cadangan PN itu adalah tidak wajar selepas Pakatan Harapan (PH) membubarkan jabatan tersebut sebelum ini untuk menjimatkan kos operasi kerajaan ketika memerintah.

"Jasa telah dibubarkan ketika pemerintahan PH bersama dengan agensi seperti Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (Pemandu).

"Pembubaran atau penamatan agensi-agensi berkenaan membawa penjimatan anggaran sebanyak RM500 juta setiap tahun.

"Namun, tindakan Kerajaan PN sanggup mengembalikan Jasa dalam situasi kritikal ini adalah tidak wajar dan tidak sepatunya berlaku," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, pada 2017, Jasa memperoleh RM22.9 juta peruntukan dan pada tahun yang seterusnya memperoleh RM30 juta hanya untuk menyebarkan propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

"Bayangkan, Ketua Pengarah pada masa itu memperoleh gaji yang mencecah RM20,592 setiap bulan berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang hanya menerima RM14,907 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang lagi mengejutkan adalah, sebanyak RM12.8 juta peruntukan kerajaan diberikan kepada Jasa sebagai bayaran emolumen kepada 272 kakitangan Jasa pada ketika itu," dakwanya.

Chean Chung mendakwa, Jasa yang merupakan sayap propaganda BN pada masa itu bertanggungjawab untuk memutar belit isu dan fakta berkenaan dengan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambahnya, Jasa juga menjadi platform menggaji tentera siber parti untuk membuat publisiti murahan dan menjadikan tempat untuk UMNO dan BN menempatkan penyokongnya bagi mendapat gaji bulanan.

Justeru, Chean Chung mendesak PN tidak membazirkan pendapatan negara dalam agenda propaganda yang berunsur politik.

"Kes aktif Covid-19 kembali kepada dua digit beberapa hari ini dan kami juga menyaksikan beberapa kluster Covid-19 berlaku.

"Kerajaan PN sepatutnya memberikan tumpuan yang sepenuhnya dalam memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara dengan memanfaatkan agensi dan peruntukan sedia ada," katanya.