X

Kindly register in order to view this article
!

Naikkan elaun COLA bagi penjawat awam gred 41 ke atas

Adnan Mat
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presidennya Adnan Mat berkata, tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan COLA bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan COLA itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di sini.

Kenaikan COLA sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020 membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Sementara itu, Adnan meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Katanya, kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat time-based kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!