Tidak ada permohonan Muhyiddin mahu kembali: Ismail Sabri

Ismail Sabri melawat dan menyampaikan sumbangan kepada anggota veteran ATM Mohamed Salleh yang terlantar di Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.
Ismail Sabri melawat dan menyampaikan sumbangan kepada anggota veteran ATM Mohamed Salleh yang terlantar di Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Tertinggi UMNO tidak menerima sebarang permohonan rasmi berhubung Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hendak kembali ke dalam parti itu setakat ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti sekiranya terdapat permohonan.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, setakat ini perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat kerana jemputan hanya disuarakan oleh individu dan bukan mewakili parti.

“Individu dalam parti bebas bercakap tetapi tidak dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi. Ada dua tiga orang pemimpin kita yang bercakap, kalau yang dah keluar parti dan nak masuk balik kita akan bawa ke mesyuarat majlis tertinggi, itu pun berdasarkan permohonan.

“Kalau tak ada permohonan, bermakna hanya 'cakap-cakap' sajalah,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu beberapa pemimpin UMNO yang mempelawa bekas pemimpin parti itu termasuk Muhyiddin untuk kembali kepada parti berkenaan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menegaskan keputusan pemecatan Muhyiddin daripada UMNO boleh diubah.

Dalam perkembangan lain membabitkan kes ugutan didakwa diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Ismail Sabri berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan, jika ada laporan,” katanya.