Warga emas hilang selepas keluar rumah

Elyas Zainudin
Elyas Zainudin
A
A
A

GERIK - Polis sedang giat mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Tengah Gelok, Lenggong di sini Isnin lalu.

Elyas Zainudin, 84, didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar sendirian dipercayai untuk minum pagi di kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya yang menerima laporan telah menjalankan gerakan mengesan warga emas itu di kawasan kampung tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa disedari hilang pada jam 9.30 pagi apabila dia tidak pulang ke rumah. Pengadu yang menerima panggilan daripada isterinya bertindak mencari bapa mentuanya itu.

"Mangsa mempunyai masalah kesihatan serta mengalami penyakit nyanyuk. Sebelum kejadian mangsa sering keluar namun biasanya akan pulang semula ke rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, anggota Balai Polis Lenggong bersama penduduk kampung telah memperluaskan operasi mengesan mangsa.

"Pencarian dilakukan sekitar kawasan kampung dalam radius 2 kilometer (km) tetapi gagal menemui apa apa petunjuk. Jarak rumah pengadu ke jalan utama adalah sejauh 1km.

"Polis dan Rela buat pemantauan sekitar kampung tersebut sehingga ke Kuala Kangsar dengan bantuan Balai Polis Kuala Kangsar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli berkata, pihaknya turut mengedar gambar mangsa di kawasan sekitar sebagai salah satu usaha untuk mengesan mangsa.

"Kita turut memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) syarikat bas tetapi tidak kelihatan mangsa menumpang mana-mana pengangkutan awam.

"Usaha masih diteruskan untuk mencari mangsa dan orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran," katanya.