Kerajaan rancang gelembung perjalanan

Hishammuddin (tiga dari kiri), Vivian Balakrishnan (dua dari kiri) dan Hasni (tengah) melawat Tambak Johor selepas melakukan pertemuan dan perbincangan berkenaan pembukaan sempadan di BSI, Johor Bahru hari ini.

A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan sedang berbincang melaksanakan gelembung perjalanan (travel bubble) ke wilayah berstatus hijau di sesebuah negara tanpa perlu menunggu negara itu diisytiharkan bebas koronavirus (Covid-19).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra juga merancang untuk membuka semula sempadan Malaysia dengan negara terbabit dan usaha pertama adalah melibatkan sempadan Malaysia-Singapura.

"Wisma Putra ada perancangan tetapi berdasarkan realiti dan keadaan semasa serta keseimbangan antara faktor ekonomi dan kesihatan yang perlu dipertimbangkan. Saya akan dipandu Kabinet (untuk membuat keputusan)," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Terdahulu Hishammuddin, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan wakil kedua-dua negara mengadakan mesyuarat berkenaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk pembukaan sempadan selain melawat Tambak Johor.

Dalam kenyataan rasmi beliau bersama-sama Dr Vivian pada hari ini memaklumkan, kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura bersetuju untuk membuka sempadan kedua-dua negara paling awal Ogos 17 Ogos ini.

Dalam perbincangan tersebut kedua-kedua negara bersetuju membenarkan rentas sempadan melalui skim RGL dan PCA yang melibatkan kategori pertama dan kedua.

Hishammuddin (tiga dari kiri), Vivian Balakrishnan (dua dari kiri) dan Hasni (tengah) melawat Tambak Johor selepas melakukan pertemuan dan perbincangan berkenaan pembukaan sempadan di BSI, Johor Bahru hari ini.
Hishammuddin (tiga dari kiri), Vivian Balakrishnan (dua dari kiri) dan Hasni (tengah) melawat Tambak Johor selepas melakukan pertemuan dan perbincangan berkenaan pembukaan sempadan di BSI, Johor Bahru hari ini.

Hishammuddin berkata, gelembung perjalanan ketika ini di rancang ke New Zealand, Australia, Korea, Vietnam dan Jepun.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh tunggu semuanya selesai (tiada kes Covid-19) baru boleh buka sempadan negara tetapi kita beri tumpuan khusus yang praktikal contohnya di Singapura kita lihat kepada perjalanan pekerja-pekerja.

"Di Indonesia, walaupun bilangan (kes Covid-19) adalah tinggi tetapi tidak bermakna kita tidak boleh fikirkan pergerakan antara pelancong di antara Bali dengan Langkawi. Begitu juga kita dengan Australia," katanya.

Menurutnya, ini termasuk pelajar Malaysia yang mahu balik ke Sydney atau Melbourne untuk menyambung pelajaran dan pihak universiti sanggup menerima mereka dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri.

Beliau ada mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya menjalinkan hubungan semula dengan provinsi yang selamat di China terutama kawasan yang bebas daripada Covid-19.

Katanya, tidak semua provinsi di China berada dalam zon merah dan tidak perlu menunggu sehingga Malaysia mendapat vaksin Covid-19 baru menjalin hubungan semula dengan wilayah berkenaan.