Star View Menara Alor Setar dibuka mulai hari ini

Muhammad Sanusi (kanan) dan Ainol Shaharina (kiri) merasai sendiri pengalaman berdiri di lantai kaca di Star View Menara Alor Setar di sini tadi.
Muhammad Sanusi (kanan) dan Ainol Shaharina (kiri) merasai sendiri pengalaman berdiri di lantai kaca di Star View Menara Alor Setar di sini tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelantar pemandangan terbuka dikenali sebagai Star View Menara Alor Setar di sini dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Star View berkenaan akan menjadi produk pelancongan terbaharu dan menarik di Kedah.

Menurutnya, orang ramai boleh merebut peluang untuk merasai sendiri pengalaman berdiri di pelantar kaca yang merupakan kedua tertinggi di Malaysia itu.

"Saya ucapkan tahniah atas inisiatif membina dua Star View di Menara Alor Setar berkenaan yang dianggarkan melibatkan kos lebih kurang RM2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Star View Menara Alor Setar di Dataran Menara Alor Setar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan panorama dan tempat menarik sekitar Bandar Alor Setar dari atas platform kaca terbabit.

Dalam perkembangan sama katanya, Kedah memiliki pelbagai produk pelancongan menarik dan tempat bersejarah berpotensi untuk menarik kehadiran pengunjung yang belum dimajukan sepenuhnya.

"Sebagai contohnya, kita memiliki banyak sawah dan ada kumpulan tertentu ingin menikmati keindahan panorama sedemikian tetapi belum dijadikan salah satu produk pelancongan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung ke Star View Menara Alor Setar itu.

Menurutnya, diskaun sebanyak 50 peratus ditawarkan kepada pengunjung berminat untuk merasai pengalaman naik ke lantai kaca di dua Star View terletak di ketinggian 105 meter (m) dari aras laut tersebut.

Katanya, pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman unik seolah-olah terapung di udara sambil menikmati panorama indah pada waktu siang dan malam sekitar Bandaraya Alor Setar.