Putra tak tanding PRK DUN Slim

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak berhasrat untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, fokus Putra kini untuk mempersiapkan jentera menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, memang dari awal lagi Putra tidak mempunya perancangan untuk bertanding di DUN Slim itu kerana menyedari kawasan tersebut merupakan kubu kuat UMNO dan BN.

"Kita hanya menumpukan persiapan jentera PRU15 untuk kerusi-kerusi Parlimen yang sudah dikenal pasti mempunyai potensi untuk menang. Jadi tak perlu buang masa dan tenaga bertanding di PRK.

"Memang kita dah boleh jangka kerusi DUN Slim itu akan kekal milik BN kerana kawasan majoriti Melayu dan kebanyakan pengundi juga tinggal di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Putra sasar tanding 40 kerusi Parlimen

Sementara itu, Hamidah melihat Pakatan Harapan (PH) juga tidak akan mampu menang jika mereka meletakkan calon di kawasan DUN tersebut.

Menurutnya, majoriti orang Melayu tidak lagi yakin dengan PH yang dilihat gagal menangani isu melibatkan kepentingan kaum itu ketika mentadbir kerajaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali mengumumkan bahawa parti itu akan menyasarkan 40 kerusi Parlimen pada PRU15 dengan empat negeri sudah mengenal pasti kerusi-kerusi tersebut.