Buat panggilan palsu: Lima warga Indonesia diberkas

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

SEPANG - Polis menahan seorang lelaki yang membuat panggilan palsu dengan mendakwa sebuah pesawat akan terhempas dalam satu operasi di sebuah rumah di Dengkil di sini pada Khamis lalu.

Operasi kira-kira jam 9 malam oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor turut menahan empat lagi individu termasuk dua wanita.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, semakan mendapati kesemua suspek adalah warga Indonesia berusia lingkungan 23 hingga 35 tahun.

"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan selepas seorang kakitangan yang bertugas di bilik operator KLIA2 menerima satu panggilan pada Selasa lalu daripada seorang lelaki disyaki warga Indonesia yang mengatakan pesawat akan jatuh.

"Lelaki terbabit kemudian telah mematikan telefon bimbitnya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, petugas terbabit yang bimbang dengan panggilan berkenaan kemudian telah membuat laporan polis.

Katanya, susulan itu, polis berjaya mengesan nombor telefon lelaki berkenaan sebelum berjaya membuat tangkapan.

"Polis telah merampas satu telefon bimbit dipercayai digunakan untuk membuat panggilan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek telah direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.