X

Kindly register in order to view this article
!

MTUC desak kerajaan lindungi pekerja diberhentikan lewat fail kes

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Gambar kecil: A Balasubramaniam
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak Kementerian Sumber Manusia campur tangan untuk memberi perlindungan kepada pekerja yang diberhentikan semasa wabak koronavirus (Covid-19) tetapi lewat memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).

Timbalan Setiausaha Agungnya, A Balasubramaniam berkata, isu memfailkan kes di JPP apabila seseorang dibuang kerja kini menjadi persoalan kerana timbul beberapa kekeliruan mengenai tempoh masa untuk memfailkan kes pemberhentian kerja.

Menurutnya, mengikut Akta Perhubungan Perusahaan 1967 mana-mana pekerja yang diberhentikan kerja perlu memfailkan kes di JPP dalam tempoh sebelum 60 hari dari tarikh diberhentikan kerja.

"MTUC difahamkan beberapa pekerja yang diberhentikan semasa Covid-19, pada akhir Januari hingga Mei lalu atau selepas dari tarikh tersebut menghadapi masalah kerana tidak dapat memfailkan kes mereka dalam tempoh masa 60 hari.

"Ia disebabkan semua pejabat JPP ditutup dan tidak beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac hingga 9 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Balasubramaniam berkata, MTUC difahamkan JPP telahpun menerima kes-kes yang difailkan lewat itu untuk perbicaraan walaupun melepasi tempoh masa 60 hari.

Bagaimanapun menurutnya, kini timbul satu persoalan apabila kes-kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, soal perundangan dibangkitkan.

"Pihak-pihak tertentu mempersoalkan kesahihan mematuhi undang-undang memfailkan kes di JPP dalam tempoh 60 hari.

"Pertikaian seperti ini telah dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman, keadaan ini sudah tentunya akan membebankan pekerja kerana melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Susulan itu tegasnya, MTUC mahukan Kementerian Sumber Manusia campur tangan dengan segera dalam kes itu bagi mengelakkan pekerja yang kehilangan kerja berdepan mudarat lebih teruk dan tertekan.

"MTUC juga mohon agar Menteri Sumber Manusia menggunakan bidang kuasanya supaya dapat mengambil langkah segera untuk keluarkan peraturan tersebut dari Akta Perhubungan Perusahaan ataupun pindaan terhadap akta itu dilakukan bagi memastikan kes-kes yang difailkan selepas 60 hari tidak terjejas.

"Seterusnya ia tidak menghalang Mahkamah Perusahaan menerima dan meneruskan perbicaraan kes-kes yang difailkan lewat akibat perintah PKP demi memberi keadilan kepada pekerja-pekerja yang dihentikan kerja semasa Covid-19," katanya.

Katanya, kelewatan yang berlaku disebabkan PKP (pejabat JPP ditutup) akibat dari Covid-19 bukannya kesalahan yang disengajakan pekerja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!