'Nur Jazlan ibarat Covid-19 dalam PN'

Muzzammil Ismail dan Nur Jazlan Mohamed
Muzzammil Ismail dan Nur Jazlan Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Nasional, Muzzammil Ismail mendakwa Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed ibarat koronavirus (Covid-19) dalam Perikatan Nasional (PN).

Muzzammil berkata, ia ekoran kenyataan Nur Jazlan yang mendakwa hubungan antara UMNO dengan Bersatu tidak begitu kukuh meskipun bersama dalam gabungan kerajaan PN.

"Jika ada lima orang (pemimpin) macam Nur Jazlan maka terkuburlah kesepakatan PN yang kita semua bina di atas prinsip perikatan.

"Kenapa perlu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dan spekulasi jahat bagi kedua-dua buah parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN - Nur Jazlan akui hubungan UMNO, Bersatu tidak kukuh

Dalam kenyataannya semalam, Nur Jazlan berkata, Johor salah satu daripada negeri-negeri yang menjadi bukti ketegangan hubungan politik antara UMNO dan Bersatu.

Mengulas lanjut, Muzzammil menegaskan, sepatutnya sebagai pemimpin utama parti, Nur Jazlan perlu menjadi ejen penyatuan dan meyakinkan rakyat dengan keupayaan PN mengurus tadbir kerajaan.

Dakwanya, jika hal itu berterusan, PN terutama pemimpin seperti Nur Jazlan seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang PN kecapi sekarang.

"Sepatutnya fokus kepada kerja dan bantu rakyat jika 22 bulan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) hanya sibuk berkelahi.

"Hari ini kita pula mengulangi kesilapan yang sama," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Muzzammil meminta pemimpin muda dalam PN perlu lebih agresif tonjolkan diri sebagai ejen atau pemimpin yang bekerja keras kepada rakyat berbanding mereka yang boleh digelar ‘dinosaur politik’.