Estet ikan tambah bekalan negara

Che Abdullah menarik palang bagi melepaskan ikan ke dalam Estet Ikan Masjid Al-Rahman.
Che Abdullah menarik palang bagi melepaskan ikan ke dalam Estet Ikan Masjid Al-Rahman.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan projek estet ikan bagi membantu meningkatkan pengeluaran ikan dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sebagai perintis, Tasik Masjid Al-Rahman di Pulau Gajah dipilih lokasi pertama untuk memulakan projek tersebut.

Katanya, beliau yakin selepas ini banyak lagi kawasan lain bakal dilaksanakan projek yang sama mengikut kesesuaian lokasi.

“Tasik Pulau Gajah merupakan kawasan perairan air payau seluas 3.5 hektar dan mempunyai kualiti air yang sesuai untuk ternakan ikan.

“Komuniti dan 20 ahli jawatankuasa Masjid Al-Rahman akan mengurus projek tersebut dengan bimbingan syarikat yang menjalankan projek pembenihan, asuhan dan ternakan ikan air payau, AIN Aquaculture Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Abdullah (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Hasan (kanan) mengenai keluasan kawasan tasik tersebut.
Che Abdullah (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Hasan (kanan) mengenai keluasan kawasan tasik tersebut.

Terdahulu, Che Abdullah melancarkan Estet Ikan Negeri Kelantan di Tasik Masjid Al-Rahman, Pulau Gajah di sini. Yang turut hadir, Imam Masjid Al-Rahman, Hasan Mahmood.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebanyak 20,000 ekor benih ikan tilapia air payau dan 10,000 ekor benih ikan siakap bersaiz tiga inci dan ke atas dilepaskan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh ternakan selama lapan hingga 12 bulan, dijangka sebanyak 24 tan metrik ikan akan dihasilkan dengan nilai sebanyak RM336,000,” ujarnya.

Selain itu, Che Abdullah berkata, projek Estet Ikan Masjid Al-Rahman akan dijadikan sebagai produk agropelancongan dan memberi sumber pendapatan secara langsung kepada tabung masjid berkenaan.

“Setiap jemaah Masjid Al-Rahman juga akan dibekalkan dengan makanan ikan rumusan pada harga RM2 sebungkus untuk memberi makan ikan.

“Insya-ALLAH, kejayaan pelaksanaan Estet Ikan Masjid Al-Rahman, Pulau Gajah, Kota Bharu, Kelantan ini akan jadi perintis penubuhan banyak lagi estet ikan di Kelantan khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.