Superkip azam aksi terbaik

Khairul Idham pada perlumbaan di litar Jerez, minggu lalu. - Foto BikersRepublic.com
Khairul Idham pada perlumbaan di litar Jerez, minggu lalu. - Foto BikersRepublic.com
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Khairul Idham Pawi, 21, berazam untuk memberikan aksi terbaiknya pada perlumbaan pusingan ketiga Grand Prix (GP) Andalusia 2020 di Litar Jerez, hari ini.

Khairul Idham atau dikenali dengan gelaran SuperKIP itu berkata, dia kini sudah boleh membiasakan dengan jenteranya biarpun berdepan kesukaran mengendalikan bahagian hadapan jenteranya pada pusingan kedua GP Sepanyol di litar sama, minggu lalu.

Menurutnya, kesukaran berkenaan sekali gus menyaksikannya menamatkan perlumbaan berkenaan di tangga ke-22 dengan catatan masa 39 minit 55.100 saat di belakang juara, Albert Arenas daripada pasukan Gaviota Aspar Team Moto3.

“Pada dasarnya, saya mula serasi dengan jentera saya ini dan ini ditambah dengan masa yang saya catatkan pada pusingan kelayakan.

“Sukar untuk saya katakannya, tetapi saya akan tetap cuba untuk memberikan yang terbaik pada perlumbaan hari ini,” katanya.

Untuk rekod, Khairul Idham pernah mengharumkan nama negara ketika mencatat dua kemenangan pada GP Moto3 Argentina dan Jerman pada 2016 lalu.

Difahamkan juga, litar Jerez sekali lagi dijadualkan sebagai lokasi untuk pusingan seterusnya bagi Grand Prix (GP) Motosikal apabila saingan musim 2020 tertangguh berikutan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai kesukaran kesukaran yang dihadapinya pada perlumbaan minggu lalu, Khairul Idham berkata, dia berdepan kesukaran ketika mengendalikan jentera ketika melalui selekoh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika melalui selekoh dia dapat merasakan kurang cengkaman khususnya melibatkan bahagian hadapan jentera.

“Memang saya akui ia agak sukar pada mulanya, namun saya cuba memberikan masa untuk saya sendiri menyesuaikan diri dengan jentera.

“Kini keserasian saya dengan jentera semakin bertambah baik dan ini memberikan saya keyakinan untuk memberikan yang terbaik pada perlumbaan hari ini,” katanya.