X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Kelantan dibenar solat Aidiladha

Kerajaan Kelantan benarkan solat sunat Aidiladha, namun perlu mengikut kapasiti masjid mahupun surau di negeri ini. Gambar hiasan.
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Rakyat negeri ini dibenarkan menunaikan solat sunat Aidiladha, namun perlu mengikut kapasiti masjid mahupun surau setelah mengambil kira penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara jemaah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, perkenan agar solat sunat Aidiladha dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibuat secara terkawal bagi mengawal penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, jemaah berumur 70 tahun ke atas hanya dibenarkan kepada 30 orang dan ditempatkan di ruang yang khusus bagi masjid yang berkapasiti melebihi 500 individu.

"Jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

"Selain mematuhi penjarakan sosial 1 meter, semua jemaah yang hadir hendaklah membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengambil air wuduk di rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, masjid, surau dan musala hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan akan ditutup selepas solat disempurnakan.

"Jawatankuasa masjid dan jemaah hendaklah sentiasa mengamalkan normal baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu melakukan pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan serta kawasan sekitarnya termasuk tandas dan tempat mengambil air sembahyang.

"Jawatankuasa masjid atau surau juga perlu mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan jemaah.

“Kehadiran jemaah perlu direkodkan dalam aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau dalam buku kehadiran yang mesti disimpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Katanya, jemaah wanita juga dibenarkan solat namun perlu diberi keutamaan kepada jemaah lelaki sekiranya tempat solat di masjid tidak mempunyai ruang mencukupi untuk semua jemaah.

"Jemaah tidak dibenarkan bersalaman selain tidak boleh berkumpul setelah selesai aktiviti sama ada di dalam atau di luar masjid, surau dan musala.

"SOP ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!