Ikatan Komuniti Selamat gesa kerajaan takrif tempat sesak

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan, Ikatan Komuniti Selamat menggesa kerajaan memberi penjelasan tentang takrifan tempat sesak susulan perintah mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penjelasan berkenaan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penguat kuasa undang-undang selepas perkara itu dilaksanakan.

"Keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian penutup hidung dan mulut wajar dilaksanakan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi untuk memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagaimanapun, penjelasan terperinci tentang tempat sesak perlu supaya tidak timbul masalah ketika pelaksanaan SOP baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kelmarin kerajaan mengumumkan pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti selain atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Katanya, orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Lam Thye berkata, sangat penting definisi tempat awam sesak itu diperjelaskan kerana sudah tiada budi bicara dan denda RM1,000 boleh dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kalau tidak ditetapkan takrifannya, tiada garis panduan jelas berhubung pengertian tempat awam sesak itu dan terpulang kepada penguat kuasa untuk mentafsirkannya.

"Saya ambil contoh kalau empat lima sahabat keluar berjalan bersama untuk ke restoran, adakah ia dikira sesak?

Sementara itu, Lam Thye menyokong cadangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semalam untuk membuka sempadan kepada wilayah hijau negara luar bagi membantu sektor pelancongan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan perlu memperketatkan SOP supaya tiada kes penularan import daripada kemasukan pelancong.

"Pembukaan semula sempadan ini boleh dipertimbangkan untuk merancakkan dan memajukan semula industri pelancongan.

"Bagaimanapun perlu diteliti bahawa hanya pelancong dari negara yang berstatus hijau wabak Covid-19 sahaja dan bukan kepada negara yang belum dapat mengawal wabak ini," katanya.