Kumpulan pertama jemaah haji tiba di Jeddah

Sebahagian kumpulan pertama jemaah haji tahun ini yang akan mengerjakan ibadat haji di Makkah dalam suasana pandemik Covid-19 mula tiba di sini.
Sebahagian kumpulan pertama jemaah haji tahun ini yang akan mengerjakan ibadat haji di Makkah dalam suasana pandemik Covid-19 mula tiba di sini.
A
A
A

MAKKAH - Kumpulan pertama jemaah haji tahun ini yang akan mengerjakan ibadat haji di Makkah dalam suasana pandemik koronavirus (Covid-19) mula tiba di sini.

Sesetengahnya tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah sejak kelmarin.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), jemaah haji itu tiba dari lima buah bandar iaitu Madinah, Riyadh, Abha, Tabuk dan Jazan.

Mereka yang terdiri daripada pemastautin asing dan rakyat tempatan Arab Saudi adalah antara yang dipilih oleh kerajaan negara tersebut untuk melaksanakan ibadat haji pada tahun ini.

Bagi memastikan keselamatan, jemaah haji berjalan kaki melalui laluan khas di lapangan terbang itu.

Mereka juga dikehendaki mematuhi semua prosedur dan langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

Menurut SPA, selepas selesai menjalani prosedur perjalanan, jemaah haji itu kemudian bergerak ke tempat tinggal mereka masing-masing.

Sementara itu, portal berita Zawya melaporkan, ketibaan mereka disambut oleh Penolong Setiausha Kementerian Haji dan Umrah, Dr Hussein Al-Sharif dan Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Issam Bin Fouad Noor.

Artikel Berkaitan:

Menurut portal berita Arab News pula, Arab Saudi sebelum ini memutuskan untuk mengehadkan bilangan jemaah haji tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Sebelum ini laporan media menyatakan kia-kira 1,000 umat Islam akan dipilih mengerjakan haji tahun ini.

Bagaimanapun, portal Gulf News melaporkan tidak lebih daripada 10,000 umat Islam yang akan mengerjakan ibadat tersebut.

Pada tahun lalu, kira-kira 2.5 juta umat Islam mengerjakan ibadat haji di Mekah. - Agensi