X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia penting kepada China

China amat penting kepada perkembangan ekonomi Malaysia. - Foto 123RF
A
A

CHINA adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama 10 tahun berturut-turut, dengan perdagangan berkembang 8.1 peratus kepada RM313.8 bilion tahun lalu.

China juga adalah sumber import terbesar Malaysia iaitu 19.9 peratus daripada jumlah import keseluruhan bagi 2018.

Oleh demikian, berdasarkan hubungan perdagangan tidak dinafikan China adalah amat penting kepada perkembangan ekonomi Malaysia. Pada masa yang sama Malaysia juga penting kepada China.

Dalam mana-mana hubungan bilateral sudah pasti ia mempunyai kepentingan bersama dan tidak terhad kepada satu pihak sahaja.

Sering kali perbincangan mengenai kepentingan China kepada Malaysia khasnya dalam bidang ekonomi. Artikel ini ingin membincangkan beberapa kepentingan Malaysia kepada China.

Pertama, dari segi sejarah moden hubungan bilateral Malaysia-China, pada 1974 Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang pertama mengiktiraf serta mengadakan hubungan diplomatik dengan China.

Ketika itu suasana Perang Dingin Malaysia telah mengambil suatu langkah yang berani dan berisiko tinggi untuk menjalinkan persahabatan dengan China sedangkan negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina (1975), Thailand (1975), Indonesia (1990), Singapura (1990).

Maka tidak keterlaluan untuk menyifatkan Malaysia sebagai 'pemangkin' kepada negara-negara Asia Tenggara yang lain untuk ada keyakinan untuk mengiktiraf China serta menjalinkan hubungan diplomatik.

Sekali lagi, pada 1989 selepas insiden Tianmen, China menghadapi isolasi di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun Malaysia yang mengamalkan Dasar Berkecuali tidak menyertai negara-negara Barat mengutuk China malah Malaysia memulakan langkah untuk membawa China untuk menjalinkan hubungan dengan ASEAN.

Langkah tersebut amat penting kerana ia memberi peluang kepada China untuk terus berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa sedangkan hubungan dengan negara-negara lain masih dibekukan. Sudah pasti China masih mengenang persahabatan dan jasa Malaysia sewaktu China mengalami kesukaran seperti ungkapan Cina yang berbunyi ‘semasa minum air dari telaga tidak boleh lupa siapa yang menggalinya.’

Kedua, dari segi kedudukan Malaysia amat geo-strategik kerana ia terletak di antara Laut China Selatan dengan Selat Melaka yang merupakan sebahagian utama daripada Maritime Silk Road (MSR).

Ia adalah laluan laut bagi Belt and Road Initiative (BRI) yang merupakan inisiatif strategik China untuk meningkatkan pelaburan dan memupuk kerjasama. Selain itu, Malaysia berkedudukan di tengah-tengah rantau Asia Tenggara berbanding dengan negara-negara lain.

Ini amat penting kerana ia adalah sebahagian daripada jalinan pelabuhan dan laluan perkapalan dalam MSR misalnya pelabuhan-pelabuhan Kuantan, Klang dan Pulau Pinang. Apabila projek East Coast Rail Link (ECRL) telah siap menjelang 2026 barangan dagangan daripada selatan China seperti pelabuhan Shenzhen, Guangzhou, Hong Kong boleh diangkut melalui ECRL ke pelabuhan Klang dan ini dijangkakan boleh mengurangkan kesesakan kapal di Selat Melaka dan pergantungan kepada pelabuhan Singapura.

Dagangan

Ketiga, Malaysia adalah rakan dagang terbesar China dalam kalangan negara anggota ASEAN selama lima tahun berturut-turut sejak tahun 2008.

Jumlah dagangan dua hala antara China dan Malaysia pada tahun 2013 mencapai 106 bilion USD, menjadikan Malaysia rakan dagang China yang ketiga di Asia, hanya di belakang Jepun dan Korea Selatan dan kelapan terbesar secara keseluruhan.

China muncul sebagai pelabur luar tersebar di Malaysia dan pada masa yang sama Malaysia menjadi platform bagi firma China untuk menebusi pasaran ASEAN.

Keempat, Malaysia menjadi salah satu destinasi utama para pelajar China untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma hingga kedoktoran dalam pelbagai bidang sama di institut pengajian tinggi awam atau swasta.

Selain itu, ramai pelajar China datang ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Inggeris secara intensif selama tiga bulan sehingga setahun sebelum mereka melanjutkan pengajian di Britain, Australia dan AS.

Perkara ini kerana persepsi penduduk dan pemerintah China adalah positif. Malaysia merupakan sebuah negara yang stabil dari segi keselamatan serta kualiti pendidikan yang tinggi setanding dengan negara-negara maju telah berjaya menarik ramai pelajar daripada China.

Di samping itu, Malaysia juga menjadi destinasi utama para pelancong daripada China.

Isu tuntutan bertindih Laut China Selatan tidak harus menjadi penghalang kepada persahabatan telah wujud sekian lama. Malaysia sentiasa mempertahankan kedaulatannya pada masa yang sama berpegang teguh kepada prinsip keamanan dan dialog bagi menyelesaikan pertikaian antarabangsa.

Berdasarkan hujahan yang telah dikemukakan adalah jelas hubungan Malaysia-China bersifat win-win kerana kedua-dua negara saling memerlukan satu sama lain seperti perpatah Cina ‘emas senang diperolehi, sahabat karib lebih sukar dicari.’

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!