40 tahun tak boleh lupa

Santokh dan koleksi medalnya. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh dan koleksi medalnya. - Foto ASRIL ASWANDI
A
A
A

TANGGAL 4 April 1980 mungkin antara tarikh yang sukar dilupakan oleh peminat bola sepak di negara ini kerana pada tarikh berkenaan satu sejarah bola sepak telah tercipta di Stadium Merdeka apabila Malaysia menewaskan gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 2-1 bagi mengesahkan slot ke temasya Sukan Olimpik Moscow 1980.

Legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang ketika itu turut beraksi mengemudi benteng pertahanan skuad negara turut menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu kenangan manis yang paling sukar untuk dilupakannya sampai bila-bila.

Apa tidaknya, kenangan yang sudah berlalu kira-kira 40 tahun berkenaan menurut Santokh nyata masih segar dalam ingatannya sehingga ke hari ini dan malah sudah dianggapnya sebagai antara detik teristimewa sepanjang penglibatannya dalam arena sukan bola sepak.

Santokh bersama plak Olimpik Moscow 1980. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh bersama plak Olimpik Moscow 1980. - Foto ASRIL ASWANDI

Menurut Santokh, kejayaan berkenaan tambah manis apabila ia dilakar ketika beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium berkenaan bagi tujuan memberikan memberikan sokongan kepada pasukan.

"Kalau tanya saya pasal kenangan, bagi saya perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Merdeka bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Moscow 1980 adalah perlawanan yang saya takkan lupakan.

"Tambahan pula kita akan menentang pasukan Korea Selatan yang pada ketika itu menjadi pilihan utama bersama Jepun untuk layak ke Sukan Olimpik berkenaan," katanya kepada Sinar Ahad ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Santokh, kejayaan pada perlawanan berkenaan memberikannya seribu makna dan disifatkannya sebagai antara pencapaian tertingginya selama berkecimpung dalam arena bola sepak khususnya di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Santokh bersama sebahagian medal yang dimenanginya. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh bersama sebahagian medal yang dimenanginya. - Foto ASRIL ASWANDI

Kejayaan

Katanya, biarpun dibarisi rata-rata pemain amatur, tetapi kesebelasan pemain yang diturunkan pada perlawanan berkenaan dilihat telah memberikan aksi terbaik masing-masing sehingga akhirnya dapat menewaskan Korea Selatan pada perlawanan berkenaan.

"Memang sukar untuk melupakan kejayaan pada malam berkenaan. Saya masih ingat, selepas perlawanan, kesemua pemain dan pihak pengurusan pasukan kelihatan sungguh bergembira meraikan kejayaan berkenaan.

"Foto-foto berkenaan masih ada di ruang legar Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sehingga ke hari ini dan diharapkan ia mampu memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai bola sepak negara," katanya.

Santokh mengabadikan kenangan bersama rakan baiknya, Allahyarham Mokthar Dahari. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh mengabadikan kenangan bersama rakan baiknya, Allahyarham Mokthar Dahari. - Foto ASRIL ASWANDI

Mengulas mengenai perasaannya ketika beraksi pada malam berkenaan Santokh berkata, dirinya sungguh bersemangat untuk beraksi biarpun di sebalik kehadiran penyokong agak luar biasa ketika itu.

Katanya, semangat yang dirasakannya juga agak berbeza pada malam berkenaan, apabila dirinya begitu bersungguh-sungguh untuk memberikan aksi terbaik dan seterusnya menamatkan perlawanan dengan nota kejayaan buat skuad negara.

"Seingat saya, lebih 55,000 penyokong hadir bagi menyaksikan perlawanan berkenaan. Mungkin kehadiran inilah yang menyebabkan perasaan saya, semangat saya agak berbeza kerana ia membuatkan kita sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan," katanya.

Santokh menerima anugerah daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh menerima anugerah daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto ASRIL ASWANDI

Sementara itu Santokh berkata, pihaknya juga gembira dengan penerbitan filem Ola Bola yang secara keseluruhannya bertemakan mengenai perjalanan skuad bola sepak negara untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 lalu.

Katanya, biarpun ada beberapa adegan yang ditokok tambah mengikut kesesuaian plot filem berkenaan, ia tetap membuatkan dirinya terbayangkan suasana yang dialaminya pada ketika itu.

"Apa yang kita lalui, sama seperti apa yang ada dalam filem Ola Bola. Latihan di Bukit Fraser, latihan ala tentera dan lain-lain. Ada juga beberapa perkara yang tidak betul.

"Sebagai contoh, sebenarnya yang menjaringkan gol kemenangan negara adalah penyerang Sabah, James Wong; tetapi ia berbeza dengan pemain yang ditampilkan dalam filem berkenaan.

"Bagi saya, itu hanyalah bagi mengikut plot filem berkenaan. Tak ada masalah pun. Tetapi apa yang mahu disampaikan adalah semangat pemain yang 'membara' untuk mewakili negara pada ketika itu," katanya.

Santokh bersama anugerah daripada FAM. - Foto ASRIL ASWANDI
Santokh bersama anugerah daripada FAM. - Foto ASRIL ASWANDI

Profil

Datuk Santokh Singh

Nama gelaran: Dhebo

Umur: 68 tahun (1952)

Asal: Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur

Anak: Kiranjeet Kaur, Sukhdeer Singh dan Rajveer

Makanan/ minuman kegemaran: Masakan ketam/ teh tarik

Pendidikan: Tingkatan Lima

Nombor jersi: 5

Posisi: Pertahanan

Debut dengan skuad kebangsaan: 1972

Trofi dimenangi: Terlalu banyak; antaranya pingat gangsa Sukan Asia Tehran, pingat emas Sukan SEA 1977 Kuala Lumpur dan Sukan SEA 1979 Jakarta

Pemain paling diminat: Franz Beckenbauer (pemain legenda Jerman)

Kelab paling diminati: Tottenham Hotspurs (England)

Kenangan manis: Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Kenangan pahit: Malaysia tidak menghantar kontinjen ke Sukan Olimpik Moscow 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan