Usah cabar kedudukan minoriti India

No Image Caption
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa merupakan manifestasi rakyat Malaysia untuk memilih sebuah kerajaan memiliki tampuk kepimpinan yang stabil.

Kestabilan politik itu pada dasarnya diukur berlandaskan pembahagian kerusi parti memerintah di mana memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Revolusi Langkah Sheraton pada Februari lalu, telah menobatkan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermajoriti paling tipis sekali dalam sejarah politik negara.

Agenda mementaskan PRU15 itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan PN di bawah gabungan rakan komponen seiring meraih semula mandat rakyat demi terus memerintah negara ini.

Baru-baru ini, mantan wakil rakyat UMNO, Datuk Zainal Abidin Sakom dalam satu wawancara kepada sebuah portal tempatan telah mengesyorkan strategi politik bagi memperkukuhkan status kerajaan PN agar terus berkuasa melalui PRU15.

Zainal Abidin telah mencadangkan rakan komponen PN iaitu MIC supaya tidak bertanding dalam PRU15 akan datang.

Kata beliau, ia menjadi penghormatan kepada MIC jika tidak bertanding PRU15 bagi memberi laluan kepada gabungan parti Melayu.

Kolum Lidah Pengarang akhbar Makkal Osai tampil membidas cadangan tidak berasas figura politik berkenaan yang bercanggah dengan ideologi politik negara berpegang kepada sistem demokrasi berparlimen.

Artikel Berkaitan:

Makkal Osai menegaskan bahawa tiada seseorang individu mahupun mana-mana pihak berhak untuk mencabar kedudukan parti kaum minoriti, MIC dan melarang untuk bertanding dalam PRU15.

Keputusan sama ada bertanding ataupun di sebaliknya dalam PRU15, secara kolektifnya adalah tertakluk kepada pihak MIC dan barisan kepimpinannya.

Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara sudah pun memperuntukkan hak-hak istimewa sebagai warganegara kepada rakyat antaranya adalah hak mengundi dan hak mengundi penuh.

Perbuatan melarang seseorang warganegara daripada mengundi dan bertanding diklasifikasikan sebagai salah disisi undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut disifatkan sebagai mencabul kebebasan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Malaysia telah menyaksikan sebanyak 14 PRU sehingga hari ini dan tidak dapat menafikan kebenaran bahawa masyarakat India telah menjadi penentu pilihan raya bagi kemenangan Barisan Nasional mahupun Pakatan Harapan.

Sumbangan MIC kepada survival dan penentuan kemenangan parti pemerintah amat disedari pemimpin-pemimpin terdahulu termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin.

Tekanan

Justeru, pembentukan kerajaan Malaysia melibatkan satu kaum yang menjurus kepada trend kuasa mutlak sangat tidak sesuai bagi negara diduduki rakyat berbilang bangsa dan agama.

Dalam pada itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran turut menegaskan MIC tidak berkompromi dalam kehilangan martabat parti itu.

Ironinya, MIC sedia menyahut cabaran PRU15 dengan meletak jentera pilihan raya yang berkaliber untuk bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Parti itu juga memiliki keupayaan dan strategi tersendiri dalam mengharungi PRU15 yang bakal menjelma kelak itu.

Sementara itu, jelas MIC bahawa pihaknya terguris apabila ada anasir tidak bertanggungjawab menularkan pandangan agar meminimumkan kerusi bertanding parti itu.

Senario ini timbul berikutan daripada penyertaan parti pas dan Bersatu dalam PN dan meningkatkan jumlah rakan komponen.

Disebabkan itu, telah wujud kemungkinan jumlah kerusi MIC akan dikurangkan sama sekali turut terima tekanan untuk melepaskannya demi kepentingan parti gabungan PN.

Penghapusan kerusi bertanding MIC pada PRU15 diibaratkan merampas suara Parlimen kaum minoriti untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat dan menuntut hak mereka daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Kekukuhan pembentukan Malaysia dan rahsianya adalah strategi perkongsian kuasa yang diamalkan bermula pada tahun 1952.

Mekanisme perkongsian kuasa di antara parti kaum majoriti dan minoriti itu terbukti telah memelihara kesamarataan kepentingan kaum, membela hak asasi dan mengutuhkan integrasi nasional.

Trend politik semasa Malaysia wajar menghargai strategi perkongsian kuasa yang menjadi amalan pemerintahan seluruh dunia sehingga kini sebabnya bukan sahaja lebih realistik tetapi sesuai dengan transformasi geopolitik negara.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor