X

Kindly register in order to view this article
!

Penjenamaan 50 tahun Rukun Negara

Tahun ini Malaysia meraikan 50 tahun pengistiharan Rukun Negara.
A
A

PADA 31 Ogos 1970, Rukun Negara dilancar Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Tahun ini kita meraikan 50 tahun pengistiharan Rukun Negara. Ia merupakan dokumen keramat yang dianggap sebagai ideologi kebangsaan.

Ia tercetus dari Mesyuarat Perundingan Negara (MPN) Januari 1970 yang disertai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan bersama wakil dan kumpulan berkepentingan. Tujuannya adalah untuk mencari formula memulihkan semula garis keetnikan di negara ini; maka lahirlah Rukun Negara.

Ketika itu, negara berada dalam darurat, Parlimen dihentikan fungsinya dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) mentadbir urus negara kerana rusuhan perkauman 13 Mei 1969 yang telah mengambil nyawa dan memusnahkan tanah air ini.

Sensitiviti kemanusiaan hilang sehingga ada sekelompok masyarakat membiarkan emosi mengawal diri mereka tanpa melihat kerasionalan untuk bertanggungjawab ke atas ‘hak’ dan ‘kebebasan’ yang diraikan seolah-olah ia bersifat mutlak. Tutur kata, aksi dan provokasi serta tindakan mereka membuktikan bahawa tidak wujud rasa bersalah kerana menyalahgunakan kebebasan mereka.

Dimanakah Rukun Negara hari ini dalam kalangan masyarakat Malaysia? Sirah negara-bangsa ini perlu difahami dan didalami agar mana-mana generasi sekalipun tahu mudah untuk membina Malaysia tetapi hakikatnya, tidak mudah untuk membina warga Malaysia. Selepas 50 tahun, kita boleh akui bahawa masih ada segelintir yang tidak tahu hargai nilai menjadi seorang warga Malaysia.

Tidak boleh dinafikan bahawa rakyat Malaysia masih sarat dengan identiti etnik. Maka, identiti nasional dirasakan perlu untuk mengimbangi aset induk negara ini iaitu ‘rencam’, ‘pelbagai’, berbilang’ dan ‘majmuk’. Ia juga sebagai kayu ukur kepada kestabilan dan keadaan menentu bagi mewarnai keunikan demografi dan geografi bumi Malaysia ini merentasi Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Rukun Negara adalah manifestasi kepada kesejahteraan, keamanan dan kemuafakatan integrasi warganya. Rukun yang kukuh dalam kalangan rakyat akan turut meneguhkan negara ini.

Pembangunan, modenisasi dan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang dianggap antara punca mengapa masyarakat perlu disusun semula. Masyarakat hidup berdampingan tetapi berasingan; mereka bergaul tetapi tidak bergabung.

Barangkali 50 tahun lalu, ini menjadi sekatan percantuman antara masyarakat yang ketara sewaktu konflik perkauman membesar sehingga rusuhan berdarah berlaku. Selepas 50 tahun, kita masih melihat kepentingan dokumen ini kerana sejarah penghasilannya adalah untuk memberi kekuatan kepada kepelbagaian yang dianggap sebagai aset untuk negara.

Namun, hakikatnya hubungan antara etnik masih rapuh walaupun pelbagai usaha berterusan dilakukan oleh pihak kerajaan melalui agensinya. Konsep meraikannya dalam satu keluarga besar masih belum tercapai sepenuhnya. Apakah yang menyekat proses penyatupaduan, kesepaduan dan perpaduan ini?

Terdapat lima prinsip di dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Kesemuanya mahu melahirkan warga Malaysia melalui perwatakan dan tingkah laku yang dipersetujui bersama. Lazimnya kita mengenepikan asas untuk mempelbagaikan Rukun Negara iaitu:-

“BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokrasi; Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak; Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”

Penjenamaan Rukun Negara tidak bermakna kita berkompromi dengan kesemua lima prinsip atau sama sekali mengabaikan signifikannya. Namun, penjenamaan Rukun Negara perlu memberi keutamaan dengan mukadimah Rukun Negara di atas yang amat jelas mahu mempertahankan riwayat Malaysia.

Rukun Negara merupakan ‘pelindung kepada kontrak sosial yang dipersetujui ketika kemerdekaan tanah air ini. Ia juga melindungi nilai akhlak dan akidah rakyat serta nilai murni, berbudi-bahasa dan penyayang sifatnya, malahan moral menjadi kompas kemajmukan.

Barangkali perlu memberi roh kepada Rukun Negara sebagaimana kata Tun Abdul Razak bahawa ‘tanpa amalan, Rukun Negara akan menjadi secebis dokumen yang tidak mempunyai makna’.

Faham, hormat dan terima merupakan tiga nilai utama melengkapi jiwa warga Malaysia. Penceritaan semula Rukun Negara untuk menjenamakan dan memasarkan ia sebagai identiti nasional adalah tanggungjawab bersama iaitu keluarga, media, sekolah, universiti, sektor awam dan swasta, guru dan pendidik, rakan sebaya, pemimpin, orang ramai dan diri sendiri.

Penjenamaan perlu bermula dari kesopanan dan kesusilaan. Naratif yang mudah difahami dengan kesepaduan sivik berteraskan kepada akomodasi, adaptasi, solidariti, mediasi dan rundingan adalah untuk semua tanpa mengira latar etnik, agama, fahaman politik mahupun gender.

Tawaran baru tidak boleh membenarkan identiti hybrid atau yang berubah-ubah kerana Rukun Negara adalah falsafah kebangsaan yang pertahankan kedaulatan dan kemuafakatan.

Insiden menconteng kata-kata kesat di lukisan mural Yang Dipertuan Agung (YDPA) dan pemimpin lain, menghina Jata Negara, mengecam agama Islam dan agama lain; memperlekehkan kedudukan Raja-Raja Melayu; merendahkan kedudukan lagu Negaraku dan mengetawakan martabat Bahasa Melayu menunjukkan sesuatu perlu dilakukan ke atas nilai kemasyarakatan khususnya prinsip kelima Rukun Negara.

Jika ini dapat dipertingkatkan amalannya, nescaya prinsip lain akan dihormati dan diiktiraf kedudukannya.

Penjenamaan perlu diselarikan dengan eko-sistem semasa. Pendidikan rendah dan menengah boleh mengungguli usaha ini. Gunakan pemikiran kreatif memenuhi ruang kemahuan dan keperluan Rukun Negara.

Zaman ia sebagai rujukan di belakang buku nota sekolah sudah berakhir. Penghayatan melalui paksaan juga tidak akan menguntungkan. Lima prinsip Rukun Negara sudah baik susunannya; yang perlu dilakukan adalah pencarian kaedah, instrumen atau metodologi untuk mengembalikan roh Rukun Negara.

Sudah tiba masanya menggalakkan pemimpin muda mengetuai kempen menyemarakkan amalan Rukun Negara. Sekretariat dan Kelab Rukun Negara mesti diperkasakan. Golongan ini memahami litar pemikiran masing-masing dan penjajaran mengikut keadaan semasa akan menguntungkan kerajaan dan negara.

Rukun Negara adalah milik bersama. Ada nilai kejujuran, keikhlasan, kompromi, korban, kesederhanaan dan kepunyaan di dalamnya. Teliti dan garap kesemua nilai serta mukadimahnya. 50 tahun akan datang pasti dipenuhi dengan penceritaan kejayaan penghayatan ke atasnya jika saling percaya antara satu sama lain. Ia bermula dari kita.

* Profesor Dr. Sivamurugan Pandian ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!