Misi Islam UAE ke Marikh

Gambar fail menunjukkan ilustrasi kapal angkasa tanpa juruterbang al-Amal yang dalam perjalanan ke Marikh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan ilustrasi kapal angkasa tanpa juruterbang al-Amal yang dalam perjalanan ke Marikh. - Foto AFP
A
A
A

PADA 19 Julai lalu di Pulau Tanegashima, selatan Kyushu, Jepun, sebuah roket Mitsubishi H-2A sepanjang 53.03 meter berlepas kira-kira jam 6.58 pagi dengan membawa bersama kapal angkasa milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Marikh.

Pelancaran itu mencipta sejarah apabila UAE menjadi negara Arab pertama menghantar misi tanpa juruterbang ke planet tersebut selepas berjaya menghantar angkasawan lelaki yang juga rakyat negara itu,

Hazzaa Ali Almansoori ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) selama lapan hari pada tahun 2019.

Dalam perjalanan ke Marikh itu, kapal angkasa UAE bernama al-Amal yang bermaksud Hope dalam bahasa Inggeris akan berpisah dengan roket tersebut sebelum mengkaji keadaan cuaca dan atmosfera tanpa mendarat di Marikh selama dua tahun.

Hope dijangka tiba di planet tersebut pada Februari 2021 iaitu tahun bagi UAE meraikan ulang tahun penubuhan negara itu yang ke-50.

Kapal angkasa itu dijangka menempuh perjalanan sejauh kira-kira 493 juta kilometer (km) dengan kelajuan 34,000km sejam dan mengambil tempoh tujuh bulan sebelum memasuki orbit planet merah itu.

Seorang wanita merakamkan pelancaran kapal angkasa al-Amal di Pulau Tanegashima, Jepun dari Pusat Angkasa Lepas Mohammed bin Rashid, Dubai pada 19 Julai lalu. - Foto AFP
Seorang wanita merakamkan pelancaran kapal angkasa al-Amal di Pulau Tanegashima, Jepun dari Pusat Angkasa Lepas Mohammed bin Rashid, Dubai pada 19 Julai lalu. - Foto AFP

Ia dibina dengan menggunakan kepakaran saintis dan jurutera negara itu dengan mendapat bantuan daripada Universiti Colorado Boulder, Universiti of California, Makmal Sains Angkasa Lepas Berkeley dan Unversiti Arizona State di Amerika Syarikat (AS).

Artikel Berkaitan:

Kerjasama itu dilakukan kerana universiti-universiti dan makmal tersebut sebelum ini dikenali kerana mempunyai sejarah yang panjang dalam pembinaan kapal angkasa lepas dan peralatan-peralatan sains.

Kebanyakan pembinaan kapal angkasa Hope yang sepanjang 2.90 meter (m) dan lebar 2.90m serta seberat 1,350 kilogram itu dibuat di AS manakala Pusat Angkasa Lepas Mohammed bin Rashid, Dubai di UAE pula memantau pergerakan serta misinya ke Marikh.

Sebelum ini, UAE berjaya menghantar sebuah satelit kecil pemerhatian bumi yang pertama ke angkasa lepas dikenali sebagai Dubai Sat-1 melalui kerjasama dengan syarikat Satrecf Initiative dari Korea Selatan.

Pelancaran satelit itu dari Baikonur, Kazakhstan pada tahun 2009 dengan menggunakan roket Dnepr membantu saintis dan jurutera dari negara tersebut membangunkan misi ke Marikh.

Misi ke Marikh itu sebenarnya diumumkan oleh Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan pada Julai 2014.

"Kami memilih untuk tiba di Marikh kerana cabaran epik memberikan ilham dan memotivasikan kami," kata Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Mohammed bin Rashid dalam satu kenyataan pada tahun 2014 seperti dilaporkan portal Space.com.

Portal berita Gulf News pula melaporkan, kira-kira 200 jurutera, saintis dan penganalisis UAE membantu membina kapal angkasa tersebut.

Misi itu juga, menurut portal National Geographic, merupakan warisan daripada zaman keemasan Islam yang bermula pada abad kelapan Masihi dan menyaksikan saintis-saintis Muslim mencipta kecemerlangan dalam bidang sains, astronomi, perubatan, matematik serta falsafah.

Menyentuh penglibatan kaum Hawa dalam projek Hope, Menteri Sains UAE dan Timbalan Pengarah Projek Marikh, Sarah Al-Amiri yang berusia 33 tahun dan bekas jurutera komputer berkata: "Sebanyak 80 peratus daripada pasukan sains misi Hope adalah terdiri daripada wanita."

Planet Marikh terletak kira-kira 493 juta kilometer dari bumi dan memerlukan perjalanan tujuh bulan untuk tiba.
Planet Marikh terletak kira-kira 493 juta kilometer dari bumi dan memerlukan perjalanan tujuh bulan untuk tiba.

Sementara itu, Pengarah Projek, Omran Sharaf enggan memberitahu bajet misi tersebut dengan menyatakan ia akan didedahkan selepas kapal angkasa tersebut mengelilingi Marikh.

Bagaimanapun, seorang Menteri Kabinet UAE, Mohammad bin Abdullah Al Gergawi menyatakan kos misi itu adalah murah iaitu kira-kira AS$200 juta (RM852.50 juta), lapor majalah Nature.

Jumlah itu adalah lebih mahal berbanding misi India yang dilancarkan pada tahun 2013 ke planet merah tersebut melibatkan kos kira-kira A$75 juta (RM319.69 juta).

Ia juga jauh lebih murah berbanding misi pelancaran sebuah kenderaan penjelajah Rover milik NASA pada tahun 2011 yang dihantar dengan menggunakan kapal angkasa Curiosity melibatkan kos AS$2.5 bilion (RM10.66 bilion).

China pula melancarkan sebuah kapal angkasa Tianwen-1 ke Marikh iaitu percubaan kedua selepas UAE pada Khamis lalu yang membawa sebuah kenderaan penjelajah yang akan mengkaji tanah dan dijangka tiba pada bulan Februari tahun depan di planet itu.

Beijing sebelum ini gagal dalam misi ke Marikh selepas sebuah kapal angkasanya Yinghuo-1 yang dilancarkan pada tahun 2011 dilaporkan hilang di angkasa lepas.

Selain AS, Rusia, India, UAE dan China, Kesatuan Eropah (EU) turut menghantar kapal angkasa lepas ke Marikh sekali gus menjadikan perlumbaan meneroka planet tersebut kini menjadi semakin sengit.

Justeru, UAE yang terkenal dengan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa dan pulau buatan manusia telah menggunakan kekayaan daripada hasil minyaknya dengan melabur dalam bidang pendidikan untuk kepentingan sains dan kejuruteraan sains angkasa serta manfaat kepada dunia Islam.