Harapan baru umat manusia

Para pengkaji percaya planet Marikh berpotensi untuk dihuni manusia dan kajian secara serius perlu dilakukan sebagai persediaan sekiranya bumi sudah tidak lagi relevan untuk dihuni. - Gambar hiasan
Para pengkaji percaya planet Marikh berpotensi untuk dihuni manusia dan kajian secara serius perlu dilakukan sebagai persediaan sekiranya bumi sudah tidak lagi relevan untuk dihuni. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Misi penerokaan planet Marikh yang dimulakan pengkaji sejak tahun 1960-an lagi terus menjadi perhatian dunia.

Terbaru pada 20 Julai lalu, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melancarkan sebuah kapal angkasa penjelajah, Hope atau al-Amal, ke planet Marikh iaitu penghantaran misi ke planet itu yang pertama oleh sebuah negara Arab.

Misi tersebut merupakan antara tiga perlumbaan ke planet Marikh termasuk Tianwen-1 dari China dan Mars 2020 dari Amerika Syarikat (AS).

Mengapa Marikh menjadi pilihan untuk dikaji manusia berbanding lapan planet lain yang wujud dalam sistem suria di alam semesta ini?

Sejak awal misi ke Marikh dilancarkan, para pengkaji percaya bahawa planet keempat dari matahari itu mempunyai potensi untuk dihuni manusia dan kajian secara serius perlu dilakukan sebagai persediaan sekiranya bumi sudah tidak lagi relevan untuk dihuni satu hari nanti.

Beberapa siri pendedahan tentang penemuan kajian baharu bagi misi Marikh seolah-olah memberi harapan tentang kemungkinan untuk satu ketika nanti manusia dapat tinggal di Marikh sebagaimana berada di bumi.

Seorang angkasawan AS, Dr Daniel T Barry yang pernah hadir dalam satu syarahan umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012 juga berkata, planet Marikh dapat didiami manusia menjelang akhir abad ini.

Portal berita rasmi UKM melaporkan, Dr Barry yang juga ahli Suruhanjaya Angkasa AS memutuskan untuk meneruskan dengan projek Marikh kerana menyifatkan masa depan manusia terletak di planet merah itu.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2015, Agensi Angkasa Lepas AS (NASA) mendedahkan mengenai penemuan sumber air di Marikh, dan ia menambah keyakinan bahawa planet itu mampu dihuni manusia.

Pengarah Sains Planet NASA, Jim Green yang mengesahkan perkara itu berkata, penemuan tersebut sekali gus mengesahkan bahawa Marikh bukan sebuah planet yang tandus.

Laporan agensi berita antarabangsa juga menyebut penerokaan yang dilakukan robot peninjau menemui kewujudan hidrogen, karbon dan oksigen serta bukti planet itu pernah menampung organisma.

Pada tahun 2018, laporan diketuai penyelidik dari Itali yang diterbitkan dalam jurnal sains AS mendedahkan terdapat sebuah tasik bawah tanah terletak di bawah lapisan ais dan berkeluasan kira-kira 20 kilometer (km) ditemui buat pertama kali di planet Marikh.

Laporan itu mendedahkan penemuan tersebut merupakan cecair terbesar pernah ditemui di planet digelar planet merah itu.

Air tasik itu bagaimanapun tidak boleh diminum dan terletak hampir 1.5km di bawah permukaan berais dalam persekitaran dingin.

Pelancaran misi ke planet Marikh oleh UAE baru-baru ini mungkin akan menambah lagi penemuan baharu setelah lebih berpuluh-puluh misi penerokaan dilakukan oleh beberapa negara besar terutama AS, Rusia, China, Jepun dan negara-negara Eropah.

Tidak lupa juga negara India yang menjadi negara Asia pertama menghantar satelit ke orbit Marikh pada tahun 2013.

Penglibatan India dalam siri misi penerokaan planet Marikh membuktikan negara itu mampu bersaing dengan pemain besar dunia di era angkasa.

Dalam misi planet itu turut terdapat perancangan untuk menghantar manusia sekali gus menyaksikan Marikh bakal menjadi ‘penaklukan’ baharu bagi manusia di planet lain dalam sistem suria.

Adakah Malaysia juga mampu untuk menjadi sebahagian daripada misi bersejarah tersebut?

Senarai negara hantar misi jelajah ke planet Marikh

Amerika Syarikat

Rusia

China

Jepun

Eropah (Agensi Angkasa)

India

Emiriyah Arab Bersatu (UAE)