Haniza akui ada terima pelawaan PN

Haniza Mohamed Talha
Haniza Mohamed Talha
A
A
A

AMPANG JAYA - Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Haniza Mohamed Talha mengakui ada menerima tawaran untuk menyertai parti politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, bekas Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor itu memaklumkan belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menerima pelawaan tersebut atau sebaliknya.

Menurutnya, beliau masih memikirkan perkara itu dan masih melihat pro dan kontra keputusan bakal diambil.

“Sekarang ini boleh dianggap Pakatan Harapan (PH ) dah tak nak saya selepas dipecat PKR, mereka lihat saya tak boleh menyumbang.

“Saya ada terima tawaran daripada parti dalam PN tapi belum buat keputusan lagi kerana nak tunggu dulu dan fikirkan macam mana,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Haniza berkata, sudah menjadi trend terkini parti politik dilihat sudah tidak berapa penting berbanding individu.

Katanya, di negara-negara maju penilaian rakyat adalah lebih terhadap individu bukan parti.

“Saya nampak di Malaysia pun dah ke arah itu... negeri lain gabungan lain, di peringkat Persekutuan pun lain gabungannya. Walau apa pun saya akan jadi ahli kepada parti politik tapi setakat ni belum pilih lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan kembali insiden beliau digantung sebelum dipecat keahliannya dalam PKR, Haniza mendakwa, ia disebabkan pertemuannya dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden parti tersebut, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Menurutnya, pertemuannya dengan Mohamed Azmin dan Zuraida hanya untuk bertanyakan mengenai Langkah Sheraton berikutan ketika peristiwa itu berlaku beliau berada di luar negara.

Selain beliau terdapat beberapa pemimpin lain yang turut menyertai pertemuan itu namun tidak dikenakan tindakan pemecatan.

“Bila kembali dari luar negara, saya jumpa mereka (Azmin dan Zuraida) nak tahu apa terjadi, kita kawan kan... namun lepas itu digantung keahlian selama tiga bulan. Lembaga Disiplin PKR dalam surat menyatakan dalam masa terdekat mereka akan panggil beri keterangan mengenai pertuduhan terhadap saya namun selepas tiga bulan tunggu tak ada pun dipanggil.

“Tiba-tiba datang surat pecat. Ada yang suruh saya buat surat rayuan tapi cubalah fikir kalau masa digantung, saya tunggu untuk beri keterangan tapi tak dipanggil tetapi terus keluar surat pecat. Adakah saya akan dapat keadilan jika tulis surat rayuan. Saya tengok hanya dibuat begitu supaya dilihat telah menjalani proses tersebut,” katanya.

Haniza berkata, beliau kemudian dimaklumkan dipecat atas alasan mempersoalkan keputusan yang dibuat terhadapnya selain mengambil ahli PKR yang dipecat menyertai pertubuhan bukan kerajaan Nation Of Women (NOW) ditubuhkan beliau, dua bulan lalu.