Hajat balik kampung tak kesampaian

Kemalangan di Kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet, Lipis hari ini membabitkan dua buah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha 135LC.
Kemalangan di Kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet, Lipis hari ini membabitkan dua buah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha 135LC.
A
A
A

LIPIS - Hasrat seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk pulang bercuti ke kampung tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Sungai Koyan-Ringlet di sini hari ini.

Kemalangan itu turut meragut nyawa seorang pemuda orang asli.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, Muhammad Shakirin Salimi, 20, yang bertugas di Kem Lumut, Perak dan Saiful a/l Rasif, 21, dari Kampung Jerangkak, Pos Betau di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kemalangan membabitkan dua buah motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha 135LC.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Yamaha 135LC yang ditunggangi Muhammad Shakirin dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Kuala Lipis.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa bertembung dengan Yamaha 125ZR ditunggang Saiful yang datang dari arah bertentangan. Akibatnya, kedua-dua penunggang maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata, bedah siasat akan dijalankan selepas ujian swab koronavirus (Covid-19) diperolehi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: