X

Kindly register in order to view this article
!

Agenda pelitup separa muka

A
A

SEJAK seminggu lalu kita dapati ada peningkatan kes Covid-19 dan mencetuskan kebimbangan kerajaan mengenai risiko kehadiran gelombang kedua pandemik ini.

Justeru mulai 1 Ogos 2020 kerajaan akan mewajibkan penggunaan pelitup separa muka (mulut dan hidung) dalam pengangkutan awam dan di kawasan awam yang sesak. Mereka yang ingkar akan dikenakan denda seribu ringgit.

Sudah tentu polisi sebegini akan mendapat pelbagai reaksi yang positif dan negatif dari rakyat. Bukan semua orang selesa memakai pelitup separa muka ini. Lebih menimbulkan kemarahan ialah bila mendengar denda seribu ringgit.

Begitu pun tidak dinafikan pemakaian pelitup separa muka dalam pengangkutan awam dan tempat sesak merupakan saranan semua organisasi kesihatan terkemuka dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penggunaan pelitup separa muka ini akan mengurangkan risiko penyebaran Covid-19 kerana pencetus pandemik ini - virus SARS-CoV-2, tersebar melalui ‘droplets’ dari mulut dan hidung.

Dengan memakai pelitup separa muka kita dapat menghalang mereka yang mempunyai virus ini menyebarkannya ke tempat awam atau orang berdekatan. Bagi yang sihat pula ia mengurangkan risiko pemindahan langsung dengan pembawa virus berdekatan.

Namun masa yang sama saya khuatir peraturan mewajibkan pemakaian di tempat awam yang sesak ditafsir secara melampau sehingga nanti nampak seperti denda ini sebagai mencari sumber kewangan kerajaan.

Apa yang agak mengecewakan ialah dalam cubaan merasionalkan kewajipan dan denda ini, kerajaan sejak beberapa hari lalu cuba memberi gambaran peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini akibat kelalaian rakyat.

Ini adalah sangat tidak adil kepada rakyat yang Malaysia yang boleh dikatakan berdisiplin dan menjaga SOP yang diperkenalkan sejak Mac 2020.

Dalam puluhan kes sejak beberapa hari lepas hanya dua kluster tempatan iaitu kluster Hopsital Sentosa dan kluster Rumah Warga Emas Kluang, Johor. Kluster lain semuanya berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara.

Punca

Malahan bagi kluster warga emas Kluang, sehingga berita ini ditulis, belum diketahui punca asalnya. Tidak mustahil ia juga berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara.

Di Lembah Klang, tempat yang padat dengan manusia dan kerancakan ekonomi serta ditohmah masyarakat telah mengabaikan SOP, jumlah kes positif hanyalah antara 1-2 orang dan membabitkan kluster mereka yang pulang di dari luar negara.

Jadi amat tidak wajar untuk kerajaan memberi isyarat seolah-olah rakyat yang semakin lalai menjadi punca peningkatan kes Covid-19.

Dalam mengenakan peraturan dan denda, para penguatkuasa undang-undang juga perlu memahami bahawa pelitup separa muka ini boleh jadi berbahaya kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan seperti COD, asma dan lain-lain masalah berkaitan pernafasan.

Pembuat polisi memahami isu ini, namun kerap kali apabila sampai kepada penguatkuasa ia akan menjadi masalah kerana penguatkuasaan yang rigid.

Orang ramai juga perlu memahami bahawa penggunaan pelitup separa muka ini adalah sebahagian usaha menurunkan kadar kebolehjangkitan Covid-19, bukannya penyelesaian mutlak.

Kebarangkalian untuk kita dijangkiti Covid-19 dari tangan juga tinggi seperti pemindahan langsung droplets dari mulut atau hidung pembawa kepada orang sekeliling.

Malah penggunaan pelitup separa muka yang juga boleh mempercepatkan penularan sekiranya dibuat hanya sekadar untuk mematuhi peraturan bukan menjaga kebersihan.

Menggunakannya secara berulang kali atau berterusan selama berjam-jam boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan menimbulkan isu kesihatan lain.

Mendedahkan bahagian dalam pelitup ketika tidak menggunakannya dan kemudiannya menggunakan semula hanya mempercepatkan virus sampai ke mulut dan saluran pernafasan.

Penggunaan pelitup pakai buang secara besar-besaran juga akan meningkatkan sisa buangan dan menambah beban pengurusan alam sekitar dalam jangka masa panjang. Di Lembah Klang sahaja dijangka jutaan pelitup separa muka akan dibuang setiap hari bila peraturan ini diperkenalkan.

Mungkin mulai Ogos nanti kita perlu membawa dua unit pelitup yang boleh dibasuh bagi memenuhi peraturan kerajaan, menjaga kebersihan dan menyelamatkan alam sekitar.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!