MIC bersikap terbuka soal pembahagian kerusi

R Thinalan
R Thinalan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jumlah kerusi yang dipertandingkan MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) akan diputuskan menerusi perbincangan antara parti dalam Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda MIC, R Thinalan berkata, MIC bersikap terbuka berhubung soal pembahagian kerusi dalam kalangan rakan-rakan dalam parti komponen.

Beliau berkata, MIC telah mengadakan perbincangan bersama ketua-ketua bahagian dan cawangan dan sedang menunggu isyarat daripada Presiden parti, Tan Sri S A Vigneswaran berhubung perkara tersebut.

"Kita kena pandang secara holistik dengan hati terbuka. Kita mahu yang terbaik untuk Malaysia. Bukan macam dahulu (Pakatan Harapan), semua nak kerusi tapi tak boleh buat apa-apa selama 22 bulan," katanya ketika hadir pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pemuda MIC Kedah dan Kolej Cosmopoint Sungai Petani di Kelab Cinta Sayang di sini hari ini.

Najmie (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Thinalan (dua dari kiri) dan Ketua Pemuda MIC Kedah, J Jeevabalan (kiri) pada majlis di Kolej Cosmopoint Sungai Petani hari ini.
Najmie (dua dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Thinalan (dua dari kiri) dan Ketua Pemuda MIC Kedah, J Jeevabalan (kiri) pada majlis di Kolej Cosmopoint Sungai Petani hari ini.

Thinalan bagaimanapun berharap lebih banyak kerusi akan diperuntukkan kepada Pemuda MIC memandangkan golongan muda adalah ikon masa depan negara.

"Namun, apa sahaja keputusan, kita terima secara terbuka," katanya.

Thinalan berkata, dalam tempoh enam bulan kebelakangan ini, banyak usaha telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti menangani wabak Covid-19 secara berhasil, selain menawarkan pembelajaran matrikulasi kepada pelajar India yang telah memberi isyarat baik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai program MoU berkenaan, Ketua Pegawai Operasi Cosmopoint Sdn Bhd, Najmie Noordin berkata, Cosmopoint telah menandatangani MoU sejak 2017 di mana seramai 168 pelajar India telah ditawarkan biasiswa melibatkan jumlah sebanyak RM1.5 juta dan mereka berjaya menamatkan pengajian.

Antara pelajar India yang berjaya menamatkan pengajian di Cosmopoint dalam satu majlis di Sungai Petani hari ini.
Antara pelajar India yang berjaya menamatkan pengajian di Cosmopoint dalam satu majlis di Sungai Petani hari ini.

Menurutnya, bagi tahun 2020 dan 2021, biasiswa berkenaan telah dilanjutkan sebanyak RM1 juta yang boleh memberi peluang pembelajaran bagi 100 pelajar India.

"Pemuda MIC Kedah bertindak sebagai rakan strategik dalam usaha menyalurkan pelajar khususnya golongan berpendapatan rendah yang ingin mengikuti pengajian di institusi berkenaan," katanya.