Angka jangkitan baharu Covid-19 meningkat 23 kes

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Angka kes baharu Covid-19 dalam negara terus meningkat dengan merekodkan 23 jangkitan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,884 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes membabitkan penularan tempatan, manakala tiga lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Bagi kes penularan tempatan, katanya, sebanyak 10 kes adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala tujuh kes membabitkan bukan warga negara.

Menurutnya, enam kes import pula membabitkan tiga individu yang pulang dari Singapura serta masing-masing seorang dari Indonesia, Filipina dan Rusia.

"Kes penularan Covid-19 dalam kalangan warga Malaysia iaitu 10 kes membabitkan satu kes daripada Kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Ramnad di Kuala Lumpur, serta masing-masing satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang dan kes di tempat kerja di Johor.

"Sebanyak lapan kes di Sarawak direkodkan membabitkan empat kes daripada Kluster Sentosa, serta masing-masing seorang daripada Kluster Kejuruteraan Kuching, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang.

"Individu ini tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan satu kes saringan di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes jangkitan dalam kalangan bukan warga negara pula membabitkan satu kes saringan selepas bersalin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pesakit merupakan seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun berkata, pesakit berkenaan tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang.

"Selain itu, di Selangor terdapat dua kes membabitkan satu kes daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan satu kes saringan di tempat kerja.

"Di Johor merekodkan empat kes iaitu satu kes Kluster Warga Emas Kluang, dua kes daripada Kluster Bukit Tiram dan satu kes saringan sebelum masuk kerja," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 17 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad sebanyak 8,594 kes.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes," katanya.