X

Kindly register in order to view this article
!

Diplomasi sains bangunkan vaksin Covid-19

Dr Adham Baba
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan beberapa saintis Malaysia melakukan diplomasi sains dengan ramai rakan penyelidikan strategik dari luar negara bagi membangunkan vaksin koronavirus (Covid-19).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ramai saintis di negara ini yang terlatih dalam bidang pembangunan vaksin dan mereka turut menumpukan usaha membangunkan vaksin berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu akan membolehkan negara mendapat akses penggunaan vaksin Covid-19 dengan mudah jika berjaya ditemui.

"Kita masih bergantung kepada penemuan penting penggunaan vaksin untuk mencegah wabak Covid-19 (sekiranya mahu ancaman Covid-19 berakhir).

"Bagaimanapun di peringkat global sudah ada saintis yang mula menjalankan ujian vaksin Covid-19 untuk fasa ketiga klinikal.

"Fasa satu dan kedua (ujian klinikal) sudah ada beberapa syarikat di dunia yang berjaya melepasinya, kita ingin melihat fasa ketiga juga turut berjaya," katanya pada sesi Bicara Dewan Muda Johor ‘Untold Story: Di Sebalik Pandemik Covid-19’ yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Dewan Muda Johor hari ini.

Dr Adham berkata, selagi dunia belum menemui vaksin penawar kepada wabak Covid-19, kerajaan mahu semua rakyat patuh kepada panduan KKM iaitu sentiasa mengutamakan 3W (mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengadu sebarang tindakan pengabaian pematuhan prosedur standard operasi (SOP) kepada pihak berkuasa)

"Ini merupakan formula terbaik untuk membendung Covid-19 sehingga vaksin sebenar ditemui,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham turut menamakan Pengarah Kawalan Penyakit Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Norhayati Rusli sebagai wira dan tunjang utama di sebalik kejayaan kerajaan membendung wabak Covid-19 selain Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, individu itu sebenarnya yang menjadi 'mastermind' dan menggerakkan pelbagai langkah dan strategi bagi menangani ancaman Covid-19 bersama kakitangan lain dalam KKM.

"Secara keseluruhan, KKM memberi kepercayaan semua pihak untuk melaksanakan tugasan masing-masing selain penubuhan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) khusus bagi menangani Covid-19.

"Kita juga memberi kepercayaan kepada ketua pengarah (Dr Noor Hisham) untuk memberikan data-data setiap hari dan mungkin maklumat penting kepada rakyat.

"Melalui kaedah risk management (pengurusan risiko) diguna pakai tanpa perlukan ramai orang bercakap dan memberi pendapat, kita dapati sistem digunakan sangat berkesan untuk memberi maklumat sebenar dan tepat kepada rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!