SOP penggunaan senjata api anggota Rela akan diperhalusi

Hamzah (tengah) pada Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Rela Larut, Matang dan Selama di Dewan Semai Bakti Felda Ijok hari ini. - Foto Bernama
Hamzah (tengah) pada Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Rela Larut, Matang dan Selama di Dewan Semai Bakti Felda Ijok hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LARUT - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api untuk digunakan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terutamanya apabila terbabit dalam operasi di kawasan berisiko.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak Rela akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut kaedah penggunaan senjata api yang betul dan ditetapkan oleh pasukan penguat kuasa itu.

"Sebenarnya sebelum ini Rela pernah dibekalkan dengan senapang jenis 'shotgun' tetapi ada masalah dari segi penyalahgunaan dan penyimpanan senjata berkenaan dan SOP agak longgar, sebab itu kita mahu memperketatkan SOP penggunaan senjata api (untuk anggota Rela).

"Bukan semua anggota Rela boleh menggunakan senjata api, kita akan periksa dari segi kesihatan termasuk penglihatannya, apabila semua mencukupi dan mampu mengendalikan senjata dan diterima baik oleh PDRM, baru kita benarkan," katanya.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Rela Larut, Matang dan Selama yang turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah Rela, Kamarudin Mohd Rapig di Dewan Semai Bakti Felda Ijok di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Rela akan menjalani penstrukturan semula dari segi skop penugasan dan had umur kelayakan untuk menjadi anggota yang bukan hanya sekadar membantu polis menjaga lalu lintas, tetapi sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.

"Oleh itu, bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota Rela dalam menjalankan tugas dipertingkatkan, kita mahu meremajakan semula Rela kerana mahu memastikan hanya mereka yang benar-benar sihat dan layak dapat bertugas dengan sebaiknya.

"Saya ambil kira dalam waktu kita menangani pandemik Covid-19, sebagai contoh bila kita pusing (berjalan) di Kuala Lumpur, saya nampak anggota Rela yang sudah berusia bertugas membantu pasukan keselamatan yang lain ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya kasihan melihatnya sebab itu kita mahu yang benar-benar sihat boleh diberikan tanggungjawab melaksanakan tugas di lapangan manakala yang sudah berusia kita berikan tugasan di bahagian pentadbiran di pejabat sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kuota sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada anak-anak anggota Rela untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) PDRM di Kulim, Kedah pada tahun depan.

"Ini adalah 'hadiah' untuk anak-anak Rela yang layak ditempatkan di MRSM berkenaan mengikut kriteria yang ditetapkan," katanya. - Bernama