Pembangkang ramal kerusi komponen BN bakal dirampas

Chin Tong - Foto Bernama
Chin Tong - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar strategi politik pembangkang meramalkan UMNO, Pas dan Bersatu akan membentuk kumpulan sejumlah 135 daripada 165 kerusi di Semenanjung dengan merampas sejumlah kerusi parti komponen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Senator Liew Chin Tong berkata, selepas Langkah Sheraton, UMNO, Pas dan Bersatu mahu mempunyai lebih banyak kerusi untuk dibahagikan di antara mereka seterusnya akan mengubah landskap politik secara besar-besaran.

Beliau berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), daripada 165 kerusi di Semenanjung, UMNO bertanding di 105 kerusi, MCA pula 39 kerusi, Gerakan 11 kerusi, MIC di sembilan kerusi dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) satu kerusi.

Katanya, UMNO turut bertanding di 14 kerusi di Sabah dan satu di Labuan.

“Bagaimanapun, MCA akan menandingi kurang daripada sembilan kerusi yang ditandingi pada 2018.

“Kerusi yang ditandingi MCA dan MIC serta yang sebelumnya ditandingi Gerakan dan MyPPP, yang mempunyai peratusan pengundi Melayu lebih daripada 50 peratus akan diagih untuk UMNO, Pas dan Bersatu,” katanya menerusi catatan di blognya.

Menurutnya, jika lebih banyak kerusi diperlukan untuk memuaskan hati UMNO, Pas dan Bersatu, kerusi campuran yang mempunyai hampir 40 peratus pengundi Melayu juga boleh dimasukkan ke senarai kerusi tidak akan lagi ditandingi oleh MCA, MIC atau Gerakan.

“Gerakan telah meninggalkan Barisan Nasional pada 2018, justeru tentunya Bersatu, UMNO dan Pas tidak akan memberi laluan kepada Gerakan untuk mendapat kerusi boleh menang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Chin Tong menjangkakan kerusi Parlimen Gerakan di Pulau Pinang mungkin akan diambil oleh MCA untuk menebus kehilangan haknya bertanding di tempat lain seperti Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong.

Dalam pada itu katanya, Beruas dan Kepong juga mungkin berada dalam kategori sama. Selain itu, kerusi Gerakan di Taiping, Teluk Intan, Puchong, Batu dan Simpang Renggam juga berkemungkinan akan ditandingi UMNO atau Bersatu.

Katanya, MIC pula akan berdepan situasi sama di Cameron Highlands.

"Pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands Januari 2019, demi kemenangan, MIC telah memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi tersebut," katanya.

Chin Tong turut meramalkan, Bersatu atau UMNO juga akan mengambil kerusi Hulu Selangor, Sungai Buloh, Kapar, Kota Raja, Port Dickson dan Segamat.

Menurutnya, MIC mungkin hanya akan bertanding di Sungai Siput dan Tapah.

Sementara itu, Bentong, Ayer Hitam dan Tanjong Piai yang mempunyai komposisi pengundi Melayu yang sangat ketara kemungkinan besar kerusi-kerusi itu akan terus ditandingi oleh MCA berikutan nama besar dari MCA di kawasan berkenaan.

“Tetapi kerusi lain yang ditandingi MCA dengan lebih 40 peratus pengundi Melayu nampaknya cenderung akan diberikan kepada UMNO dan Bersatu,” katanya.

Beliau juga menjangkakan MCA kemungkinan akan kehilangan hak untuk bertanding di kerusi antaranya di Alor Setar, Padang Serai, Gopeng, Tanjong Malim, Raub, Kuantan, Selayang, Ampang, Pandan dan Bangi.

Ia termasuk kerusi Petaling Jaya, Wangsa Maju, Seremban, Alor Gajah, Bakri, Kluang, Tebrau yang mempunyai peratusan pengundi Melayu antara 41.19 peratus hingga 66.39 peratus. Malah kerusi MyPPP di Segambut mungkin juga dikorbankan.

“Oleh itu, nampaknya MCA akan bertanding di 28 kerusi (dengan mengambil kira enam kerusi yang pernah ditandingi Gerakan seperti yang telah dinyatakan sebelum ini), sementara MIC dijangkakan hanya akan bertanding dua kerusi.

“Jika kerusi Gerakan tidak diambil kira, kerusi MCA akan berkurangan daripada 39 kepada 22 kerusi. Daripada analisa ini, kumpulan UMNO, Bersatu dan Pas akan mempunyai 30 kerusi tambahan untuk mereka tandingi, selain 105 kerusi yang ditandingi UMNO sebelumnya.

"Justeru dalam kalangan UMNO, Bersatu dan Pas, mereka akan perlu membahagi-bahagi 135 kerusi daripada 165 kerusi di Semenanjung. Ini akan mengubah landskap politik dengan sangat ketara,” katanya.