Pistol tembak cicak rupanya...

Gambar yang tular di Facebook menunjukkan lelaki tersebut menyelit pistol tiruan di belakang seluarnya ketika menunggang motosilal.
Gambar yang tular di Facebook menunjukkan lelaki tersebut menyelit pistol tiruan di belakang seluarnya ketika menunggang motosilal.
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan seorang lelaki menyelit pistol tiruan di belakang seluarnya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu membawa padah apabila dia ditahan polis awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu ditahan pada jam 3 pagi tadi di pos pengawal sebuah kondominium di Sungai Ara, Bayan Lepas.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan lain dari lelaki berusia 35 tahun termasuk sepucuk senjata api tiruan, beg sandang dan sebuah motosikal Honda Wave yang dibeli dari seorang lelaki tahun lalu dengan harga RM500.

"Lelaki itu juga mengaku menyelit pistol tiruan di belakang seluarnya yang digunakan untuk menembak cicak ketika menunggang motosikal dari arah pusat bandar ke Jambatan Pulau Pinang.

"Dia membeli pistol tiruan tersebut di sebuah kedai runcit di Tanjung Tokong di sini pada Mei lalu pada harga RM70 dan katanya hanya untuk suka-suka," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai perkara itu dari sebuah laman Facebook pada jam 2.30 petang semalam.

"Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, kita berjaya menahan lelaki tersebut untuk siasatan lanjut.

"Semakan mendapati, dia mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular dua keping gambar di media sosial menunjukkan seorang lelaki membawa sepucuk pistol yang diselitkan di belakang seluarnya berhampiran susur masuk Jambatan Pulau Pinang.

Gambar tersebut dimuat naik oleh seorang lelaki di Facebook berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.