Blok ketiga main peranan semak dan imbang

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Blok ketiga akan memainkan peranan sebagai semak dan imbang antara kerajaan dan pembangkang secara berkesan.

Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kumpulan itu akan membawa suara rakyat secara efektif sama ada di peringkat Parlimen atau persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mukhriz yang juga antara ahli kumpulan Bersatu Blackout berkata, paling penting ialah kerjasama erat dalam kalangan pembangkang ketika membawa suara rakyat.

“Contohnya di Kedah, kerjasama antara semua pembangkang ketika bersama Pas sebelum ini sangat erat, sekarang mereka pula jadi kerajaan, kita boleh memainkan peranan sebagai semak dan imbang secara berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami kekal sebagai ahli Parlimen bebas'

Sebelum ini, bekas pemimpin Bersatu diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa mereka memutuskan untuk berada di blok Bebas sama ada di dalam atau di luar Parlimen.

Bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataannya berkata, beliau bersama lima bekas pemimpin Bersatu akan memainkan peranan sebagai wakil rakyat Bebas.

Mengulas mengenai pelantikan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baharu, Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, pihaknya menerima baik pelantikan itu.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya kita belum sempat bincang hal itu. Walaupun kami dianggap sebagai blok ketiga tetapi sebolehnya kami pun mahu peluang berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai perwakilan pembangkang dalam DUN Kedah.

"Sewaktu kali pertama saya menjadi pembangkang pun, saya bukan Ketua Pembangkang, jadi tiada masalah untuk terima,” katanya.

Pada 18 Julai lalu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul mengumumkan pelantikan Phahrolrazi sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah baharu.

Pelantikan ADUN Alor Mengkudu itu mendapat sokongan kesemua 11 ADUN PH Kedah.

Ditanya mengenai pencalonan Timbalan Speaker DUN Kedah, Juhari Bulat sebagai Speaker DUN yang baharu pada Sidang DUN Kedah yang dijadualkan berlangsung 16 Ogos depan, Mukhriz berkata, sebarang perubahan perlu diberikan notis sekurang-kurangnya 14 hari sebelum bersidang.

“Saya tak pasti cadangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung jawatan Speaker DUN, mengikut seperti mana di Dewan Rakyat, mereka perlu gugurkan dahulu Speaker sedia ada. Berdasarkan Perlembagaan negeri Kedah, perlu ada notis sebelum cadangan baharu dibuat,” katanya.

Juhari menggalas jawatan Timbalan Speaker DUN Kedah bermula 4 Julai 2018 ketika era pentadbiran kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kemelut pelantikan Speaker DUN Kedah timbul apabila kedudukan kerusi PH (kerajaan) dan pembangkang tergantung dengan kedudukan terikat 18-18.

Bagaimanapun, kemelut itu selesai selepas Ahmad Kassim dilantik melalui proses undian dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Aman.