15 peratus projek pembinaan masih tergendala

Fadillah diberikan taklimat berhubung projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Pintasan Bukit Setongkol ke laluan baharu ke Tanjung Lumpur hari ini.
Fadillah diberikan taklimat berhubung projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Pintasan Bukit Setongkol ke laluan baharu ke Tanjung Lumpur hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 15 peratus projek pembinaan pelbagai sektor yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenal pasti belum berjalan sepenuhnya bagi meneruskan projek yang tergendala.

Berdasarkan kajian Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sehingga Julai ini, 85 peratus projek lagi sudah dilakukan semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara faktor yang menghalang kerja-kerja bagi projek terlibat diteruskan termasuk masalah pekerja, bekalan bahan binaan, kewangan dan kekeliruan berkait prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Bagaimanapun masalah paling besar dihadapi kontraktor terutama dari sektor swasta kini ialah tiada pekerja, masalah bekalan bahan binaan dan kewangan.

"CIDB sudah berhubung dengan kontraktor terlibat untuk mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian.

"Masalah yang dikenal pasti akan disalurkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) supaya dipertimbangkan melalui dasar yang akan diumumkan kerajaan termasuk bantuan tertentu jika ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir meninjau kemajuan dan kelancaran kerja projek pembinaan jambatan baharu Tanjung Lumpur di sini hari ini.

Fadillah berkata, bagi projek kerajaan yang terjejas, pihak kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi lanjutan tempoh secara automatik selama tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi projek yang terjejas lebih dari tempoh itu, pihak kontraktor perlu memohon untuk lanjutan.

"Permohonan mereka akan dinilai dan jika ada asasnya, lanjutan akan diberikan," katanya.