32 individu masuk Johor dikuarantin

Seramai 21 daripada 35 individu masuk ke Johor menerusi Bangunan Sultan Iskandar semalam.
Seramai 21 daripada 35 individu masuk ke Johor menerusi Bangunan Sultan Iskandar semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki tidak sihat daripada 35 individu yang masuk menerusi empat Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di Johor Bahru dan Iskandar Puteri semalam dipercayai bukan akibat koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, ketiga-tiga mereka merupakan warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang lelaki warga emas.

"Satu kes melibatkan lelaki mengalami masalah kesihatan minor stroke dan satu kes warga emas lelaki mengalami masalah kesihatan diabetes. Kedua-dua mereka telah dihantar ke Hospital Permai di sini.

"Satu kes lagi melibatkan seorang lelaki ditempatkan di Malaysia Productivity Corporation (MPC) kerana masalah bayaran di pusat kuarantin sehingga keputusan lanjut daripada Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, baki 32 orang dihantar ke pusat kuarantin di Ramada Hotel, Iskandar Puteri yang dibuka bermula semalam.

Beliau berkata, 35 individu tersebut masuk menerusi Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan jumlah 21 orang, Kompleks Sultan Abu Bakar (seorang), Jeti Pasir Gudang (6) dan Pelabuhan Pasir Gudang (7).

Vidyananthan berkata, tiada kemasukan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dan Feri Stulang Laut di sini.

Katanya, dua kes baharu Covid-19 di negeri ini yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) semalam adalah warga tempatan kluster Rumah Jagaan Orang Tua, Kluang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga semalam jumlah kumulatif kes positif di Johor adalah 720 kes dan 21 kes adalah kes aktif yang masih dirawat.

Bagaimanapun katanya, tiada kes kematian direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal 21 orang.

"Sehingga semalam, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 678 kes. Diharapkan statistik kes sembuh dan discaj akan terus meningkat pada hari-hari berikutnya," katanya.