Kebajikan penggiat seni dibincang pasukan petugas khas

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjawab soalan pada sidang media selepas majlis Penyerahan Covid-19 Kit kepada Sekolah Menengah Baging dan Sekolah Kebangsaan Cherating hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menjawab soalan pada sidang media selepas majlis Penyerahan Covid-19 Kit kepada Sekolah Menengah Baging dan Sekolah Kebangsaan Cherating hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Isu kebajikan penggiat seni antara inti pati perbincangan mesyuarat Pasukan Petugas Industri Kreatif yang akan berlangsung tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, pasukan yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri itu juga merangkumi aspek insurans untuk golongan penggiat seni bagi memastikan mereka dilindungi.

"Ada sesetengah syarikat produksi bila hendak menerbitkan filem atau drama akan mengambil insurans dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia juga lazimnya menasihati mereka (mengambil insurans). Ini antara isu utama yang akan dibincangkan.

"Lebih 80 peratus daripada kru sesebuah production house drama atau filem adalah pekerja freelance yang dibayar gaji atau elaun secara harian. Jadi golongan ini perlu diberikan keutamaan dalam isu kebajikan penggiat seni," katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog Industri Pelancongan Cherating di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Pahang, Datuk Idros Yahya.

Selain insurans beliau berkata, perkara lain yang akan dibincangkan ialah mewujudkan bantuan guaman kepada penggiat seni, mengambil kira faktor ada antara mereka sebelum ini menandatangani perjanjian tanpa memahami isi kandungan kontrak.

"Keadaan ini menyebabkan dalam tempoh yang panjang atau selepas mereka bersara daripada industri, timbul masalah seperti tidak menerima royalti sedangkan bayaran itu yang membantu mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin (tiga dari kiri) menunjukkan kit penjagaan kebersihan pada majlis Penyerahan Covid-19 Kit kepada Sekolah Menengah Baging dan Sekolah Kebangsaan Cherating hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin (tiga dari kiri) menunjukkan kit penjagaan kebersihan pada majlis Penyerahan Covid-19 Kit kepada Sekolah Menengah Baging dan Sekolah Kebangsaan Cherating hari ini. - Foto Bernama

Saifuddin berkata, sejak menerajui kementerian itu, beliau telah mengadakan 13 siri dialog bersama pelbagai persatuan dan golongan penggiat seni bagi mendengar luahan serta mendapatkan pandangan mereka dalam isu yang membelenggu dunia seni.

Mengulas perkembangan berasingan menurutnya, aspek capaian Internet di lokasi pelancongan terutamanya di kawasan pedalaman antara fokus Makmal Infrastruktur Digital Kebangsaan yang berlangsung sejak 15 Julai lalu selama sebulan.

Katanya, capaian Internet di kawasan tersebut perlu berada dalam keadaan baik memandangkan trend terkini menunjukkan golongan muda khususnya melancong sambil bekerja menyebabkan mereka akan menetap di satu-satu kawasan untuk tempoh yang lama.

"Mereka ini memerlukan capaian Internet yang bagus kerana walaupun sedang bercuti masih perlu melakukan tugasan secara dalam talian. Sebab itu ada yang akan bertanya kepada pengusaha resort tentang capaian Internet terlebih dahulu sebelum membuat tempahan.

"Selain kawasan pelancongan, fokus kita juga adalah menambah baik liputan dan capaian internet di kawasan pedalaman kerana selepas pandemik wabak Covid-19, banyak perkara sudah dilakukan secara online (dalam talian)," katanya. - Bernama