Kerajaan PN tidak berusaha pinda Akta 355

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang menyifatkan polemik Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) yang kini 'bergema' kembali bukanlah untuk diluluskan, sebaliknya untuk digugurkan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, orang Melayu Islam ternanti-nanti bilakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas akan membentangkan RUU 355 tersebut di Parlimen.

Menurutnya, jangkaan orang ramai ternyata meleset apabila Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memberi jawapan bahawa RUU 355 perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ketika mana hujah ini dibangkitkan dahulu, pakar undang-undang dilabel menentang RUU 355 sehinggakan seorang ulama Pas bersikap takfiri mendakwa sesiapa yang menentang RUU 355 akan ditanam di jirat Cina.

“Apabila disoal tujuan RUU 355 ini adalah untuk pelaksanaan hukum hudud, Pas berdolak-dalik mendakwa RUU ini bagi meningkatkan martabat Mahkamah Syariah. Apakah perasaan ribuan orang Melayu Islam yang hadir ke Himpunan RUU 355 pada 18 Februari 2017 di Kuala Lumpur yang ikhlas mahu melihat RUU ini diluluskan.

“Kini, RUU 355 yang dibawa Pas sebelum ini tinggal kenangan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, RUU 355 menjadi titik tolak perpecahan dalam Pas dan Pakatan Rakyat sebelum ini, kononnya Pas serius mahu membentangkan pindaan kepada Akta 355 itu bagi meningkatkan hukuman jenayah syariah.

Bagaimanapun katanya, setelah enam bulan menjadi kerajaan, tiada apa-apa usaha kerajaan PN ke arah itu, sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui menteri daripada Amanah telah berjaya meluluskan Akta Profesion Guaman Syarie.

Artikel Berkaitan:

“Bukankah sebagai kerajaan, Pas lebih mudah membentangkan pindaan Akta 355 kerana sudah pasti disokong semua ahli Parlimen PN termasuk MCA dan GPS Sarawak,” katanya.