Hukuman lebih berat terhadap penceroboh

Nelayan asing masih berani menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut.
Nelayan asing masih berani menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu bersetuju mengenakan hukuman lebih berat terhadap nelayan asing yang menceroboh perairan negara sehingga mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka bukan sahaja mengaut hasil laut malah merosakkan ekosistem dengan penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, hukuman sedia ada tidak menggerunkan golongan ini malah memandang ringan terhadap undang-undang negara.

“Saya bersetuju dengan tindakan yang akan diambil oleh kerajaan untuk kita kenakan hukuman lebih berat. Mereka bukan hanya mengaut hasil laut tetapi menceroboh kedaulatan negara.

“Bagaimana sebuah bot asing dengan kru asing boleh masuk dengan begitu mudah ke perairan kita. Kalau kita kiaskan, kalau bot yang masuk ini bot penceroboh yang bersenjata, maka apa yang akan terjadi?” katanya ketika diminta mengulas mengenai pencerobohan nelayan asing, di sini.

DR AZMAN IBRAHIM
DR AZMAN IBRAHIM

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seumpamanya perlu bergabung agar menggerunkan nelayan asing untuk menceroboh.

Selain itu katanya, isu pencabulan kedaulatan dan sumber hasil laut merupakan isu sejagat dan kerajaan juga boleh melihat tindakan dan penguatkuasaan yang dilakukan di negara lain seperti Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri dilaporkan akan mempertimbangkan cadangan mengenakan hukuman sebat terhadap nelayan asing yang menangkap ikan di perairan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ia bagi membendung masalah pencerobohan nelayan asing ke negara ini yang berlarutan sejak sekian lama dan hukuman denda serta penjara sedia ada dilihat tidak mencukupi untuk memberi pengajaran sewajarnya.

Buat masa ini, melalui Akta Perikanan 1985, kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran membabitkan denda tidak melebihi RM6 juta ke atas tekong atau pemilik kapal manakala denda RM600,000 ke atas setiap kru atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.