70 peratus pengunjung Bazar Karat JB dari Singapura

Nur Jazlan (tengah) mengagihkan pelitup mulut dan cecair nyah kuman kepada seorang peniaga sambil disaksikan Fuad (kanan) semasa Program Mesra Rakyat Bazar Karat Johor Bahru di Jalan Segget, Johor Bahru malam tadi.
Nur Jazlan (tengah) mengagihkan pelitup mulut dan cecair nyah kuman kepada seorang peniaga sambil disaksikan Fuad (kanan) semasa Program Mesra Rakyat Bazar Karat Johor Bahru di Jalan Segget, Johor Bahru malam tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Aktiviti perniagaan Bazar Karat Johor Bahru (JB) di bandar raya ini merosot walaupun sudah dibuka semula 15 Julai lalu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat JB, Fuad Rahmat berkata, bazar berkenaan sebelum ini menjadi tarikan pelancong termasuk 70 peratus pelanggan dari Singapura.

"Kita tidak lagi menerima pengunjung dari Singapura sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu," katanya pada sidang media selepas Program Mesra Rakyat Bazar Karat Johor Bahru di Jalan Segget di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Bandar, Suhaimi Ahmad.

Fuad berkata, Bazar Karat itu hanya beroperasi dari jam 7.45 malam hingga 12 tengah malam berbanding sebelum ini dari 6 petang hingga 2 pagi manakala Isnin ditutup.

Ketika ini katanya, hanya 240 daripada 388 kedai dibuka dengan jumlah pengunjung dihadkan antara 300 hingga 500 orang pada setiap malam.

Jelasnya, keadaan itu berbeza sebelum PKP apabila lebih 1,000 pengunjung setiap hari manakala pada hujung minggu mencecah lebih 1,500 pengunjung dan lebih lagi apabila cuti umum di kedua-dua negara.

Sementara itu, Suhaimi berharap semua pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penutupan semula lokasi itu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semua kawasan itu dikawal lebih 30 penguat kuasa MBJB dengan hanya laluan sehala membabitkan satu pintu keluar dan satu pintu masuk dibuka bagi memastikan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, Nur Jazlan, Fuad, Suhaimi dan ahli-ahli persatuan mengagihkan 1,000 pelitup muka, 400 botol cecair nyah kuman, 300 bungkusan kuih dan 350 botol air mineral kepada peniaga serta pengunjung.