Roti canai 'Shah Rukh Khan' laris

Aksi Syaiful Afenddi ketika menebar roti di gerai miliknya di Temerloh Jaya semalam.
Aksi Syaiful Afenddi ketika menebar roti di gerai miliknya di Temerloh Jaya semalam.
A
A
A

TEMERLOH - Sejak tular dengan gelaran Shah Rukh Khan (SRK) Temerloh, roti canai yang ditebar Syaiful Afenddi Ismail, 44, mendapat sambutan luar biasa.

Itu penangan populariti yang diterima peniaga roti canai dari Taman Temerloh Jaya di sini itu sejak foto yang diubah suai mirip selebriti Bollywood berkenaan tular di laman sosial lebih seminggu lalu.

Menurutnya, roti canai yang dihasilkan mampu dijual hingga 400 keping sehari berbanding 200 keping sebelum ini.

"Memang lain macam penangannya. Sekarang pun ada pelanggan panggil roti canai saya jual sebagai 'roti SRK'.

"Ada juga pelanggan yang bergurau kata Shah Rukh Khan jual roti di Temerloh dan ada juga berlaku orang jerit dari kereta panggil nama saya sebagai Shah Rukh Khan. Saya cuma mampu senyum sahaja dan layan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Syaiful Afenddi berkata, terdapat juga pelanggan yang datang dari luar Temerloh mahu berkenalan dengannya dan mengenali dan berswafoto.

Pelanggan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Syaiful Afenddi di gerai miliknya di Temerloh Jaya semalam.
Pelanggan tidak melepaskan peluang bergambar bersama Syaiful Afenddi di gerai miliknya di Temerloh Jaya semalam.

"Sebenarnya ramai yang mencadangkan supaya menukar nama gerai ini kepada Gerai SRK tetapi saya masih belum terfikir nak ubah. Lagipun saya rasa macam tak layak pula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan kerjayanya sebagai penebar roti canai, Syaiful Afenddi berkata, dia berpengalaman menebar dan meniaga roti canai sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, dia berniaga di lokasi sekarang sejak 10 tahun lalu.

Selain roti canai dengan harga RM1 sekeping, beliau turut menghasilkan roti telur dan roti bom di gerai tersebut yang hanya menawarkan jualan secara bawa pulang (take away).

Gerai Syaiful Afenddi itu beroperasi setiap hari bermula jam 7 hingga 11 pagi.

Sebelum ini, Syaiful Afenddi menjadi tular apabila gambar wajahnya disunting kelihatan seolah-olah Shah Rukh Khan sehingga dikongsi netizen serta laman portal popular.

Dia turut menerima ribuan permintaan rakan di Facebook miliknya termasuk dari negara jiran, Indonesia.

Syaiful Afenddi bagaimanapun selepas itu meminta maaf kerana niatnya menyunting gambar wajahnya itu hanya untuk bergurau dengan rakan-rakan dan bukannya untuk menipu.