Putrajaya bakal miliki pertanian bandar mega: Annuar

Gambar kecil: Annuar Musa
Gambar kecil: Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk memperluas kawasan pertanian bandar mega di wilayah Putrajaya terutamanya bagi tanah-tanah yang masih belum digunakan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengenal pasti tanah di kawasan Presint 20 seluas 14 hektar bagi tujuan itu.

"Di Putrajaya masih ada banyak tanah termasuk tanah yang tidak digunakan dalam jangka masa yang terdekat iaitu empat ke lima tahun, jadi kita boleh pertimbangkan aktiviti produktif untuk gunakan tanah tersebut termasuk rancangan PPj untuk wujudkan pertanian bandar mega," katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pembukaan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) iaitu pusat pembelajaran kitar semula yang pertama seumpamanya di Malaysia di Presint 5 di sini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya juga akan membuat kajian bagi penggunaan bunga-bunga tempatan yang sesuai bagi menghiasi landskap di sepanjang jalan-jalan protokol di Putrajaya.

"Di Putrajaya ini kita jangan buat landskap yang biasa tapi mesti mempunyai karakter tertentu sebagaimana yang dibuat negara Singapura," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, mana-mana bekas ahli UMNO yang dipecat sebelum ini boleh memohon untuk menyertai semula parti itu dan Majlis Tertinggi UMNO mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan permohonan berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri Mohamad Hasan semalam yang mengatakan UMNO boleh mengubah semula keputusan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, semua pihak mesti menghormati kedudukan Perdana Menteri yang juga pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu. - Bernama