JKNM nafi kes Covid-19 di Melaka Sentral

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) hari ini menafikan maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat beberapa warga asing yang positif koronavirus (Covid-19) di perhentian bas Melaka Sentral di sini semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismail Ali berkata, sebenarnya penumpang terlibat merupakan satu keluarga warga tempatan yang pulang dari luar negara pada 23 Julai lepas melalui Pintu Masuk Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau berkata, semua ahli keluarga berkenaan disahkan negatif ujian Covid-19 semasa menjalani saringan kesihatan di KLIA dan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam perjalanan balik ke tempat tinggal bagi menjalani kuarantin di rumah.

“Rakaman suara dan gambar tular di WhatsApp itu diambil secara rambang oleh individu yang tidak dikenali namun JKNM ingin menjelaskan bahawa kandungan rakaman suara terbabit tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Ismail berkata, laporan polis telah dibuat bagi menyiasat perkara itu dan sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.

Untuk maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau e-mel cprcmelaka@moh.gov.my.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing berketurunan India positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral. - Bernama

Artikel Berkaitan: